Sunday, August 29, 2010

Bilakah Berlakunya Lailatuqadar?



Sabda Rasulullah s.a.w:

"Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 2017.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Carilah (lailatulqadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165.

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29. Namun demikian Rasulullah s.a.w. apabila tiba sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadan, baginda akan menggandakan ibadah baginda maka amalan sebeginilah yang afdal untuk diamalkan kita semua. Baginda bersungguh-sungguh merebut peluang untuk melakukan ibadah sambil beriktikaf di masjid. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani r.h:

"Dari segi bahasa, iktikaf bermaksud membatasi diri pada sesuatu. Sedangkan menurut pengertian syarak, ia bermaskud individu tertentu menetap di dalam masjid dengan cara khusus (menepati sunnah)." - Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, Fath al-Bari, jil. 11, ms. 538.

Ketika beriktikaf, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadah sunat seperti solat, berdoa, berzikir, membaca al-Quran, berselawat ke atas Nabi s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu agama dan lain-lain amalan yang soleh.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu yang lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

"Sesungguhnya Nabi s.a.w biasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadani sehingga ALLAH mewafatkan baginda." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih nya, no: 2026.

Aisyah r.a berkata:

"Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1174.

Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam lailatulqadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a:

"Sesungguhnya Rasulullah s.a.w membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat):

"Ya ALLAH! Sesungguhnya AKU berlindung dengan keredhaan-MU daripada segala kemurkaan-MU. AKU juga berlindung dengan kemaafan-MU daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. AKU juga berlindung dengan Zat-MU yang tidak terhitung segala nimat dan belas kasihan yang telah ENGKAU berikan, kami hanya mampu berusaha memuji-MU seperti mana pujian yang layak bagi Zat-MU." – Hadis sahih riwayat al-Tirmizi, al-Nasaai, Abu Daud, Ahmad dan selainnya.

Selain dari itu, dianjurkan kan juga untuk berdoa sebagaimana dikhabarkan dari ‘Aishah r.a dia berkata:

Ya Rasulullah, apa pendapatmu apabila aku mendapati salah satu malam daripada Lailatul Qadar, apakah yang sepatutnya aku ucapkan. Rasulullah menjawab:
Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu’anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihi untuk mengampun, maka ampunilah aku. - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no: 3840

Semoga Ramadan pada tahun ini kita semua dapat mendapat malam lailatuqadar dan kita dapat mengisi sepanjang bulan ini dengan amal-amal ibadah yang sabit daripada Rasulullah s.a.w. serta mengerjakan amal-amal soleh. Lantaran dari itu semoga kita semua dapat menikmati segalan ganjaran pahala seperti yang telah dijanjikan oleh ALLAH S.W.T. kepada hambanya yang taat kepada perintah-NYA. Ada golongan yang menyatakan bahawa puasa bagi golongan yang tinggi makamnya adalah mereka yang berpuasa semata-mata ikhlas kerana ALLAH S.W.T tanpa menginginkan ganjaran pahala tersebut. Ternyata pemikiran sebegini tidak pernah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Sememangnya amal ibadah kita perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan pada masa yang sama bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mencita-citakan ganjaran pahala serta syurga daripada ALLAH S.W.T.. Buktinya ALLAH sendiri telah berfirman:

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari TUHAN kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa - ‘Aali Imraan (3) : 133

Tambahan pula Rasulullah s.a.w. juga menganjurkan kita untuk mengharapkan ganjaran daripada ALLAH S.W.T. sebagaimana sabdanya:

"Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada ALLAH), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Sumber: http://al-fikrah.net/News/article/sid=155.html

No comments:

Post a Comment