Monday, February 27, 2012

9 soalan dan jawapan



Sembilan Soalan Manusia di Jawab Oleh Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap kejadian yang berlaku dimuka bumi dan kepada diri manusia semuanya mengandungi hikmah dan Allah S.W.T. Maha Mengetahui setiap apa yang diciptakan dan ditakdirkan-Nya.

Manusia perlu bersabar dan bertenang dan mencari kebaikan dan hikmah dibalik setiap peristiwa yang berlaku. Dari sinilah akan melahirkan jiwa yang  reda dengan Qadak dan Qadar dan bersyukur di atas nikmat dan rahmat daripada Allah S.W.T.

Terdapat sembilan persoalan yang sering dikemukakan oleh manusia kepada Allah S.W.T. dan Dia menjawannya di dalam al-Quran.

Soalan pertama : Kenapa aku diuji?

Quran menjawab : "Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja
mengatakan , kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka , maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar , dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut  ayat 2-3).

Setiap ujian yang ditimpakan oleh Allah S.W.T. kepada para hamba-Nya sebenarnya Dia ingin mengurniakan sesuatu ganjaran yang lebih besar dan lebih baik. Allah S.W.T. akan menghapuskan dosa-dosanya dan memberi ganjaran pahala yang besar. Di hari akhirat nanti tidak ada balasan yang lebih baik melainkan mendapat balasan syurga.

Soalan kedua : Kenapa aku tak dapat apa yang aku idam-idamkan?

Quran menjawab : "Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu , padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui".
(Surah al-Baqarah  ayat 216)

Sseungguhnya sesuatu perkara itu hakikat sebenarnya Allah Maha Mengetahui. Baik atau buruk sesuatu perkara itu ianya adalah di dalam ilmu Allah. Yakinilah jika sesuatu doa atau hajat tidak ditunaikan-Nya ada sesuatu yang lebih baik akan diberi Allah S.W.T. sebagai penganti apa yang kita hajatkan. Jika tidak dapat di dunia, nanti di hari akhirat Dia akan memberkannya kepada kita, oleh itu berbaik sangkalah kepada-Nya.

Soalan ketiga : Kenapa ujian seberat ini?

Quran menjawab : "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya".
(Surah al-Baqarah ayat 286)

Allah S.W.T. Maha Mengetahui kemampuan kita sebagai hamba-Nya yang kerdil, oleh itu apa sahaja yang berlaku keatas diri kita sebenarnya masih dibawah kemampuan kita untuk menghadapinya. Anggaplah sesuatu ujian itu dengan fikiran yang positif dan cubalah renungkan bahawa terdapat orang lain yang lebih berat menghadapi ujian daripada kita maka dengan itu akan terasa beban yang ditanggung akan menjadi lebih ringan.

Soalan keempat  : Kenapa kita rasa kecewa?

Quran menjawab : "Janganlah kamu bersikap lemah , dan janganlah pula kamu bersedih hati , padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya , jika kamu orang-orang yang beriman".
(Surah Ali Imran  ayat 139)

Yakinlah sifat orang mukmin tidak akan rasa kecewa atau putus asa kerana orang mukmin akan sentiasa reda dengan Qadak dan Qadar. Jika kita merasai kita mulia di sisi Allah S.W.T. kerana kita orang yang beriman dan bertakwa maka akan hilang perasaan negatif ini.

Soalan kelima : Bagaimana harus aku menghadapi kesusahan ini?

Quran menjawab : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat , dan sesungguhnya solat itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk".
(Surah al-Baqarah ayat 45)

Benarlah saranan Allah S.W.T. bahawa sifat sabar dan sentiasa mengerjakan solat wajib dan sunat akan membantu orang mukmin ketika dia menghadapi ujian dan kesukaran dalam hidup. Dia akan melapangkan fikiran kita dan melepaskan daripada segala kesusahan ini jika kita istiqamah dengan bersabar dan menjadikan solat kerana solat adalah doa dan munajat para hamba kepada Tuhannya.

Soalan keenam : Kepada siapa aku berharap?

Quran menjawab : "Cukuplah Allah bagiku , tidak ada Tuhan selain daripada-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal".
(Surah at-Taubah ayat 129)

Tidak ada tempat lain untuk kita bergantung dan memohon pengharapan hanya kepada Allah S.W.T. yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mengkabulkan segala doa dan permintaan.

Soalan ketujuh : Apa yang aku dapat daripada semua ujian ini?

Quran menjawab : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mukmin , diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka".
(Surah at-Taubah  ayat 111)

Tidak ada balasan yang paling berharga yang di miliki oleh manusia yang bertakwa melainkan balasan syurga seluas langit dan bumi. Semua ujian yang dihadapai tidak akan sia-sia kerana Allah S.W.T. telah berjanji akan memberikan balasan syurga kepada siapa yang sanggup berjihad dijalan-Nya dengan harta, masa dan nyawa semata-mata mencari keredaan-Nya.

Soalan kelapan : Aku tak tahan dengan ujian ini!

Quran menjawab : "...dan janganlah kamu ber putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir".
(Surah Yusuf  ayat 87)

Orang mukmin tidak akan putus asa dengan rahmat Allah dan sentiasa bersabar dengan ujian yang melanda dirinya kerana sifat orang yang putus asa adalah sifat orang-orang kafir.

Soalan kesembilan : Sampai bila aku akan merana begini?

Quran menjawab : "Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan".
(Surah al-Insyirah ayat 5-6)

Benar apa yang dijelaskan oleh al-Quran bahawa setiap kesusahan itu akan ada kebahagiaan . Allah S.W.T. Maha Adil dan tidak pernah menganiaya hamba-hamba-Nya dan akan sampai pula masanya Dia akan memberi pertolongan dan memberi kemudahan. Ingatlah bahawa pertolongan Allah S.W.T. cukup dekat bila kita baik sangka dengan-Nya.

Sahabat yang dimuliakan,
Begitulah sembilan soalan dan semuanya telah diberi jawapan oleh al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran adalah mukjizat daripada Allah S.W.T kepada semua hamba-hamba-Nya. Apabila kita dapat memahami hikmah dibalik semua kejadian di dunia ini, maka hati kita akan menjadi tenang dan yakin dengan janji-janji Allah S.W.T. yang dinyatakan-Nya di dalam al-Quran.

Firman Allah maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".

(Surah  Al-Hadid ayat 22) 



Dalam ayat yang lain Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " 

(Surah Yunus ayat 61)


berbagai sumber

Tuesday, February 21, 2012

Amalan Hati Untuk Tetapkan Pergantungan Kepada Allah

Fadhilat : Tiada apa-apa pun boleh memudaratkan selain dari Allah. Di amalkan setiap Solat Subuh & Solat Maghrib. Amalan ini juga di kenali dengan Ayat Tujuh (Ayat 7).

Baca dan fahami maksudnya. Bukan pergantungan kita kepada ayat dan amalan. Ini adalah semata-mata untuk melembutkan hati yang keras dan degil supaya tetap hanya pada Allah. Semua adalah untuk kita hayati dan kerana Allah s.w.t.

1. Ayat 51 At Taubah (Pengampunan):
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

2. Ayat 107 Yunus (Yunus):
Jika Allah menimpakan suatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

3. Ayat 6 Hud (Hud):
Dan tidak ada suatu binatang melata di bumi melainkan Allah -lah yang memberi rezkinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).

4. Ayat 56 Hud (Hud):
Sesungguhnya aku bertawakkal kepada Allah Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada suatu binatang melatapun melainkanDia-lah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus.

5. Ayat 60 Al Ankabuut (Labah-Labah):
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezkinya sendiri. Allah -lah yang memberi rezki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

6. Ayat 2 Al Faathir (Pencipta):
Apa saja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorangpun yang dapat menahannya; dan apa saja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorangpun yang sanggup untuk melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

7.
Ayat 38 Az Zumar (Rombongan-rombongan):
Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi”, niscaya mereka menjawab: ” Allah “. Katakanlah: “Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru selain Allah , jika Allah hendak mendatangkan kemudharatan kepadaku, apakah berhala-berhalamu itu dapat menghilangkan kemudharatan itu, atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, apakah mereka dapat menahan rahmat-Nya. Katakanlah: “Cukuplah Allah bagiku”. Kepada-Nyalah bertawakkal orang-orang yang berserah diri.


Semoga kita sama-sama di berkati dan di rahmati oleh Allah s.w.t.

Tuesday, February 7, 2012

Kaedah perubatan Rasulullah S.A.W.

 
 
 
 
Di antara cara Rasulullah S.A.W bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah:-
i) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. Sabda Nabi saw di dalam musnad Ahmad Hanbal, "Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan".
ii) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.
iii) Membaca "a'uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq", iaitu aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan. Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah saw kepada para sahabat. Juga dari amalan sunnah banyak membaca "A'uzubillahi minas syaitaanir rajiim".
iv) Membacakan Ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, "Sesiapa yang membacakan Ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi", dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah S.A.W.
v) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu "Bismillahi arkiq, min kulli syai'in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq", yang bermaksud, "Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau". Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika nabi terkena sihir, dan Rasulullah S.A.W sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.
vi) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakitatau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.
vii) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.
viii) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita. Begitu juga syaitan. Syirik, bidaah, hasad dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.
Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah S.A.W, dan tiada sunnah yang lebih baik dari sunnah Rasulullah S.A.W. Bagindalah sebaik-baik bapa, sebaik-baik suami, sebaik-baik jeneral peperangan, sebaik-baik guru, sebaik-baik pemimpin, sebaik-sebaik sahabat, dan sebaik-baik ciptaan. Dengan bantuan Al-Quran dan sunnah yang sahih, insya-Allah segala gangguan dapat kita hindari.
Ya Allah, jauhilah kami dari gangguan Iblis dan anak cucunya, laknatilah mereka, dan jauhilah mereka dari hamba-Mu yang soleh.
Ya Allah, tingkatkanlah kecintaan dan kefahaman kami kepada sunnah Muhammad S.A.W, leraikan prasangka kami terhadapnya andai ada, berikanlah kami kefahaman tentangnya dan jauhilah kami dari kejahilan tentangnya.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W , keluarga dan sahabat baginda.
Wallahualam
 
 
berbagai sumber

Monday, February 6, 2012

Solat dan Rahsianya



Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemui dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut sehingga tidak terlintas oleh akal fikiran. Dia adalah seorang doktor neurologi (saraf). Beliau membuka sebuah klinik yang bertemakan ‘Perubatan Melalui al-Quran’. Kajian perubatan melalui al-Quran menjadikan ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Quran. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian berkenaan urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah, padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.



Setelah melakukan kajian yang memakan masa yang agak lama, beliau akhirnya mendapati bahawa darah tidak memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan solat. Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan tertentu sahaja dan pada masa tertentu sahaja. Ini bermakna darah hanya akan memasuki urat saraf tersebut mengikut kadar waktu solat yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan dan kebijaksanaan Allah swt.



Justeru, barangsiapa yang tidak menunaikan solat, maka otaknya tidak akan dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara normal. Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam ‘sepenuhnya’ kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini. Kesimpulannya, makhluk Allah swt bergelar manusia yang tidak menunaikan solat, apatah lagi yang bukan beragama Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya dalam sesuatu keadaan mereka akan kehilangan pertimbangan dalam membuat keputusan atau tindakan yang normal.


Justeru itu, tidak hairanlah jika manusia ini kadang-kala tidak segan silu melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya, walaupun akal mereka mengetahui bahawa perkara yang dilakukan itu adalah bersalahan dengan kehendak mereka. Ini adalah kesan ketidakupayaan otak mereka untuk mempertimbangkan akan perbuatan mereka itu secara normal. Maka, tidak hairanlah jika timbulnya bermacam-macam gejala sosial dalam masyarakat masa kini. Dari itu, marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar daripada kisah di atas. Amallah Islam secara menyeluruh dan secara istiqamah berterusan.


Pengertian bacaan dalam solat

 
Dikalangan kita ada orang-orang yang telah berpuluh tahun menunaikan solat tetapi sehingga hari ini masih belum mengerti maksud setiap bacaan dalam solat itu sendiri. Hal ini terjadi kerana kita kurang mengambil berat tentang makna bacaan tersebut. Padahal dengan memahami bacaan dalam solat, ia dapat membantu kita untuk lebih khusyuk menunaikan solat.
Buat mereka yang ingin memahami bacaan dalam solat, teruskan membaca tafsiran di bawah:

Takbiratul-Ihram / Takbir
Allah Maha Besar.

Doa Iftitah
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Besar dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal
Wahai Tuhan kami bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud
Ya Allah, ampunilah dosaku dan rahmatilah daku, lindungilah daku, angkatlah darjatku, rezekikan daku, berilah aku petunjuk, selamatkanlah daku dan maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabatsahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah.

Rahsia Solat:
  1. Niat Sembahyang : Sebenarnya memeliharakan taubat kita dari dunia dan akhirat.
  2. Berdiri Betul : Fadilatnya, ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.
  3. Takbir-ratul Ihram : Fadilatnya, sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.
  4. Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.
  5. Ruqu’ : Sebagai tikar kita di dalam kubur.
  6. I’tidal : Akan memberi minuman air dari telaga al-kautsar ketika didalam kubur.
  7. Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL-MUSTAQIM.
  8. Duduk antara 2 Sujud : Akan menaung panji-panji nabi kita didalam kubur
  9. Duduk antara 2 Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita dipadang Mahsyar.
  10. Tahhiyat Akhir : Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Munkar & Nankir di dalam kubur.
  11. Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.
  12. Salam : Memelihara kita di dalam kubur.
  13. Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah S. W. T. 


Kebesaran solat 2 rakaat

Allah SWT selesai menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang , sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).

Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata:

"Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?."

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud.. "Tidak"

Kemudian Jibrail as berdiri serta shalat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT. dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as shalat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan shalat 2 rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, Pikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya shalat mereka itu aku lebih sukai dari shalatmu itu. Kerana mereka mengerjakan shalat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan shalat bukan atas perintahKu."

Kemudian Jibrail as berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud. "Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal..."

Kemudian Jibrail as meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa.

Setelah Jibrail as mendapat izin dari Allah SWT maka pergilah Jibrail as dengan mengembangkan sayapnya dan terbang, setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail as selama 3000 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud :

"Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? "
Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud. "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, niscaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah
kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan shalat dua rakaat yang mereka kerjakan.... ."

Marilah sama2 kita fikirkan dan berusaha lakukan... Sesungguhnya Allah S.W.T telah
menyembunyikan enam perkara yaitu :


* Allah S.W.T telah menyembunyikan ridha-Nya dalam taat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.
* Allah S.W.T telah menyembunyikan shalat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).
* Allah S.W.T telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari. Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini.



berbagai sumber

Thursday, February 2, 2012

Rahsia Lalang - Penawar Asma & Sengal-Sengal Tulang,Sendi & Otot



KHASIAT KEHEBATAN LALANG
Nama saintifiknya : Imperata Cylindrica
Kumpulan : Liliopsida
Spesis : Cylindrica

* Lalang adalah sejenis rumput liar yang tumbuh merata-rata dimana-mana sahaja. Ia dikenali sebagai jenis rumput yang paling degil kerana sukar dimusnahkan. Pertumbuhannya diladang tanaman sering menyebabkan gangguan kepada tanaman lain. Biasanya lalang akan memenangi perlumbaan dalam pertumbuhan rumput-rumput lain dan ia membiak dengan pantas tanpa disedari, kerana pembiakannya melalui akarnya yang melebar didalam tanah.

* Tetapi sebenarnya lalang mempunyai penuh kehebatan sebagai penawar pelbagai penyakit, sesuai dengan kekuatan semua bahagian medianya daripada daun hingga kepada akar.

* ANTARA KEHEBATAN LALANG SEBAGAI PENAWAR /UBATAN

1. Bagi wanita lepas bersalin yang ingin mengecutkan peranakan. Ambilkan akar lalang campurkan dengan kemenyan dan dibakar, tetapi jangan sampai rentung. Kemudian bancuhkan dengan sedikit air dan tempelkan pada peranakan. Lakukan berulang-ulang kali.

2. Untuk kegunaan meningkatkan TENAGA BATIN . Akar lalang dicampurkan dengan beluru dan rebung buluh gading, direbus dan diminum airnya . Tenaga Batin akan lebih kuat, ampuh dan mampu bertahan lama.

3. Jika ada yang mengidap LELAH ( Asma ) . Rebuskan akar lalang, airnya campurkan dengan madu lebah dan diminum .

4. Untuk melawaskan kencing dan batu karang - Akarnya dikeringkan dan direbus kemudian diminum. Sebaik-baiknya jika ada daun dukung anak boleh dicampurkan sekali lebih mujarab.

5. Mengubati DEMAM - Akar lalang dikeringkan, direbus dan diminum hangat 1 sudu pada sekali minum atau secekak akar lalang direbus pada anggaran 4 gelas air dan direbus sehingga menjadi anggaran 2 gelas airnya, campurkan dengan gula batu atau madu dan diminum 3 kali sehari

6. Sengal-Sengal Tulang, Urat dan Otot - Daun lalang dibakar sehingga menjadi abu dan kemudian tempelkan pada bahagian yang sengal

7. Menawar Darah Tinggi - Minum air rebusan akar lalang 3 kali sehari . pagi, tengahari dan malam

8. Akar lalang sebenarnya mengandungi sumber gula yang mampu menjadi penawar kepada kencing bernanah, Syphylis dan buah pinggang dengan meminum air rebusan lalang berterusan mengikut peraturan yang tertib 2 kali sehari pagi dan malam.

9. Menyembuhkan luka - Tumbuk akar lalang hingga lumat dan tempelkan pada luka

10. Air mandian akar lalang . Jika anda inginkan kesegaran rebus akar lalang dan campurkan dengan sebaldi air digunakan untuk bilasan mandi. Anda akan merasakan kesegarannya

* Begitulah antara khasiat kehebatan lalang yang sering kita benci, tetapi ia mampu menyumbang kepada kesihatan manusia, jika mengamalkannya dengan penuh keyakinan dan tawakal kepada Allah S.W.T. Mohon lah keizinan , fatihah dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebelum anda memulakan rutin penggunaan harta alam ini untuk tujuan perubatan dan kesihatan.

berbagai sumber






Wednesday, February 1, 2012

Khutbah terakhir Rasulullah S.A.W pesanan sepanjang zaman


KHUTBAH Hujjatul Wada adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah.

Seumur hidup, Rasulullah SAW hanya melakukan ibadat haji sekali. Ketika itu, berpuluh ribu rombongan haji dari negara seperti Iraq dan Kuwait turut hadir melaksanakan haji bersama Baginda.

Khutbah Hujjatul Wada penting kerana di dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas Rasulullah SAW wafat. Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia.

Baginda SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda.

Antara mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu.

Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”

Rasulullah SAW turut menyebut mengenai penjagaan harta. Ini adalah mesej kedua terkandung dalam khutbah yang turut menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya.

Baginda menambah: “Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”

Di sini dapat kita lihat amalan riba ditolak sama sekali dalam Islam kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.

Sistem perbankan dunia kini yang berlandaskan riba juga menyebabkan krisis ekonomi yang menekan negara miskin terutama Negara Dunia Ketiga. Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan riba ibarat memerangi Allah yang dosanya adalah besar di sisi Allah.

Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”

Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.

Baginda SAW menyambung lagi: “Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.”

Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud; “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.”

Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.

Baginda SAW bersabda pada hujung pesanan dalam khutbah itu yang bermaksud: “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”

Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.

Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?


iluvislam