Thursday, May 31, 2012

Tujuh Amalan Sunnah Menghampirkan Diri Kepada ALLAH SWT ..



Tujuh Amalan Sunnah Menghampirkan Diri Kepada ALLAH SWT ..

Sahabat yang dikasihi kerana Allah,
Rasulullah s.a.w. diutuskan oleh Allah s.w.t untuk membawa rahmat sekelian alam. Baginda diutuskan sebagai pembawa risalah Allah s.w.t. dan mengajak mausia kepada keimanan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Baginda menunjukkan suri tauladan yang baik dan membawa manusia kepada jalan yang hak dan membetulkan perjalanna hidup manusia kepada keredhaan Allah s.w.t.

Terdapat tujuh amalan Nabi s.a.w. yang tidak pernah ditinggalkan baginda sebagai sunnah dan amalan seharian. iaitu :

Pertama : Melaksanakan solat berjemaah di masjid.

Abdullah bin Umar r.a menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Solat dengan berjemaah adalah dua puluh tujuh kali baik mutunya daripada solat bersendirian."

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, "Barangsiapa yang pergi ke masjid untuk berjemaah, maka satu langkah menghapuskan kesalahan (dosa) dan yang satu langkah lainnya dituliskan kebaikan. Hal itu berlangsung pada saat berangkat maupun pulang."
(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Kedua : Mengerjakan solat tahajjud.

Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.”
( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)

Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. Dalam satu riwayat Aishah berkata kepada Nabi s.a.w.: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal Allah telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?”
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari)

Ketiga : Membaca al-Qur'an.
Pembaca al-Qur'an akan mendapat kemuliaan dihari akhirat nanti.

1.Mereka adalah keluarga Allah s.w.t.
Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia."
Kemudian Anas berkata lagi, "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah".

2.Ditempatkan di Syurga yang paling tinggi.
Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari Nabi s.a.w, baginda bersabd maksudnya , " Dan bacalah Al Quran dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggalmu di Syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3. Ahli al-Qur'an adalah orang yang arif di Syurga.
Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Para pembaca Al Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni Syurga".

4. Dapat memberi syafaat kepada ahli keluarga.
Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapa membaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam Syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk Neraka."

5.Memakai mahkota kehormatan.
Daripada Abu Hurairah ra.daripada Nabi s.a.w. baginda bersabda maksudnya :" Orang yang hafal Al Quran, pada hari kiamat nanti akan datang dan Al Quran akan berkata; "Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut diberikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi : "Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redhailah dia." Maka kepadanya dikatakan; "Bacalah dan naiklah."Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

6. Al-Qur'an merupakan bekalan terbaik.
Daripada Jabir bin Nufair, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya :
"Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

Keempat: Solat Dhuha.

Dari Abu Dzar r.a., beliau berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Setiap persendian (ruas) tulang salah seorang di antara kamu ada sedekahnya.Setiap tasbih itu sedekah, setiap tahmid sedekah, setiap tahlil sedekah, setiap takbir sedekah, perintah yang baik itu sedekah, mencegah kemungkaran itu juga sedekah. Dan kesemuanya itu cukup dengan melakukan dua rakaat solat dhuha."
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. beliau berkata : "Kekasihku (Rasulullah s.a.w) telah memberi wasiat kepadaku untuk mengerjakan shaum (puasa) tiga hari setiap bulan, solat dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum saya tidur".
(Hadis Riwayat Lima Imam Hadis).

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud,"Barangsiap yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk menunaikan solat fardu, pahalanya seperti pahala haji. Barangsiapa yang keluar untuk solat Dhuha dan tidak keluar melainkan hanya untuk itu, pahalanya seperti pahala umrah."
(Hadis Riwayat Abu Daud).

Kelima : Memberi sedekah.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“Sungguh sedekah itu akan memadamkan kemarahan Tuhan dan menghindarkan dari kematian yang buruk (su’ul khatimah).”
(Hadis Riwayat al-Turmuzi)

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya : “Wahai Tuhanku!Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku- ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang soleh.”
(Surah al-Munafiqqun ayat 10)

Orang Mukmin Mendapat Perlindungan Dengan Bersedekah Pada Hari Kiamat :
Dalam sebuah hadis diceritakan bahawa ada tujuh golongan yang akan mendapatkan perlindungan Allah pada hari di mana tiada perlingungan sama sekali selain perlindungan Allah s.w.t.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“…..Seorang lelaki yang bersedekah secara diam-diam sehinggalah tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya.”
(Hadis Riwayar Bukhari dan Muslim)

Keenam : Beristighfar dan berzikir.
Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud :
"Sesungguhnya aku meminta ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya sebanyak tujuh puluh kali dalam sehari semalam."

Memperbanyakkan istighfar serta taubat juga menjadi sebab bagi terhurainya segala masaalah serta terbuka luas segala pintu rezeki.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
"Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

Berzikir dapat melepaskan diri dari bahaya. Firman Allah s.w.t maksudnya : “Maka Yunus ditelan oleh ikan yang besar.Maka kalau sekiranya,dia tidak termasuk orang-orang banyak mengingat Allah,nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu hingga hari berbangkit”.
(Surah As Shafaat ayat 142)

Berzikir memperoleh pahala yang tinggi. Rasulullah bersabda maksudnya : “Dua kalimah yang tercinta kepada Tuhan Yang pemurah,ringan diucapkan pada lidah,berat dalam timbangan iaitu: Subhanallahi Wabihamdihi, Subhanallahil Aziim.”
(Hadis Bukhari dan Muslim)

Firman Allah : “Dan sebutlah nama Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut,dan dengan tidak mengeraskan suara,di waktu pagi dan petang dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.
(Surah Al ‘Araf ayat 205)

Ketujuh : Sentiasa berwudhu'.

Dari Umar bin Khattab r.a, dari Nabi s.a.w., bahawasanya baginda bersabda yang bermaksud :
"Tidaklah salah seorang di antara kamu berwudhu', maka ia sempurnakan wudhu'nya kemudian berkata, 'Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan kecuali Allah semata yang tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya,' kecuali dibukakan baginya delapan pintu Syurga, ia boleh masuk dari mana sahaja yang dikehendakinya."
(Hadis Riwayat Muslim )

Dari Abu Hurairah r.a. yang berkata, bahawa ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dalam keadaan bersinar putih wajah dan anggota wudhu'nya dari bekas-bekas wudhu'. Barangsiapa di antara kamu ingin memanjanglan sinarnya, maka lakukanlah."
(Hadis Riwayat Muttafaq Alaih)

No comments:

Post a Comment