Wednesday, December 7, 2011

Jangan Mengharap “Terima Kasih” dari Seseorang.


ALLAH menciptakan para setiap hamba agar selalu mengingat-NYA, dan DIA menganugerahkan rezeki kepada setiap makhluk ciptaan-NYA agar mereka bersyukur kepada-NYA. Namun, mereka justeru ramai yang menyembah dan bersyukur kepada selain DIA.

Tabiat untuk mengingkari, membangkang, dan meremehkan sesuatu kenikmatan adalah penyakit yang umum menimpa jiwa manusia. Kerana itu, anda tidak perlu hairan dan resah apabila mendapatkan mereka mengingkari kebaikan yang pernah anda berikan, mencampakkan budi baik yang telah anda tunjukkan. Lupakan sahaja bakti yang telah anda persembahkan. Bahkan, tidak usah resah apabila mereka sampai memusuhi anda dengan sangat keji dan membenci anda sampai mendarah daging, sebab semua itu mereka lakukan adalah justeru kerana anda telah berbuat baik kepada mereka.

Dan, mereka tidak mencela (ALLAH dan Rasul-NYA) kecuali kerana ALLAH dan Rasul-NYA telah melimpahkan karunia-NYA kepada mereka.
(QS. At-Taubah: 74)

Cuba anda buka kembali catatan dunia tentang perjalanan hidup ini! Dalam salah satu babnya diceritakan: Syahdan, seorang ayah telah memelihara anaknya dengan baik. Ia memberinya makan, pakaian dan minum, mendidiknya hingga menjadi seseorang yang pandai, rela tidak tidur demi anaknya, rela untuk tidak makan asalkan anaknya kenyang, dan bahkan mahu bersusah payah agar anaknya bahagia. Namun apa imbalan seorang anak kepada ayahnya yang telah banyak berkorban untuknya? Ketika sudah kuat tulang-tulangnya, anak itu bagaikan anjing galak yang selalu menggonggong kepada orang tuanya. Ia tidak hanya berani menghina, tetapi juga melecehkan, acuh tak acuh, bongkak dan bersifat durhaka terhadap orang tuanya. Dan semua itu, dia tunjukkan melalui perkataan dan juga tindakan.

Kerana itu, sesiapa sahaja yang kebaikannya diabaikan dan dilecehkan oleh orang-orang yang menyalahi fitrahnya, sudah seharusnya menghadapi semua itu dengan fikiran yang dingin. Dan, ketenangan seperti itu akan mendatangkan balasan pahala dari Dzat Yang Perbendaharaan-NYA yang tidak akan pernah habis dan selalu sirna.

Ajakan ini bukan pula untuk menyuruh anda meninggalkan kebaikan yang telah anda lakukan selama ini, atau agar anda sama sekali tidak berbuat baik kepada orang lain. Ajakan ini hanya ingin, agar anda tidak goyah dan terpengaruh sedikit pun oleh kekejian dan pengingkaran mereka atas semua kebaikan yang telah anda perbuat. Dan janganlah anda pernah bersedih dengan apa sahaja yang mereka perlakukan.

Berbuatlah kebaikan hanya demi ALLAH semata, maka anda akan menguasai keadaan, tidak akan pernah terusik oleh kebencian mereka, dan tidak pernah merasa terancam oleh perlakuan keji mereka. Anda harus beryukur kepada ALLAH kerana dapat berbuat baik  ketika orang-orang di sekitar anda berbuat jahat. Dan, ketahuilah bahawa tangan yang selalu memberi itu lebih baik dari tangan yang sering menerima.

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan ALLAH. Kami tidak mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.
(QS. Al-Insan: 9)

Masih ramai orang berakal yang sering hilang kendali dan menjadi kacau fikirannya saat menghadapi kritikan atau cercaan pedas daripada orang-orang sekitarnya. Terkesan, mereka seolah-olah belum pernah mendengar wahyu ILLAHI yang menjelaskan dengan jelas tentang perilaku golongan manusia yang selalu mengingkari ALLAH. Dalam wahyu itu dikatakan:

Tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.
(QS. Yunus: 12)

Anda tidak perlu terkejut manakala menghadiahkan sebatang pena kepada orang bebal, lalu ia menggunakan pena tersebut untuk menulis cemoohan kepada anda. Dan anda tidak usah terkejut, apabila orang yang anda beri tongkat untuk mengiringi domba gembalaannya justeru akan memukul kepala anda dengan tongkat hadiah daripadamu. Itu semua adalah watak dasar manusia yang selalu mengingkari dan tidak pernah bersyukur kepada Penciptanya sendiri Yang Maha Agung nan Mulia. Begitulah, kepada Tuhannya sahaja mereka berani membangkang dan mengingkari, maka apalagi kepada saya dan juga anda.



Ini bukan sahaja peringatan untuk sahabat-sahabat semuslimku, tetapi juga untuk diri ini yang terlalu banyak kekurangannya.





sumber 
la tahzan

No comments:

Post a Comment