Sebagaimana kita tahu, terlalu banyak kematian sekarang ini kerana penyakit dan ramai di kalangan mereka mati ketika di usia muda lagi. Antara pembunuh-pembunuh utama ialah seperti sakit jantung, strok, kanser dan sebagainya berpunca kebanyakannya dari pemakanan kita sendiri. Sesuailah dengan hadith nabi yang bermaksud , “perut ialah rumah penyakit dan puasa adalah raja segala ubat“.
Semua perintah Allah S.W.T yang Dia syariatkan, pasti mengandungi faedah dan manfaat , begitu juga dengan semua yang dilarang oleh Allah S.W.T pasti kerana adanya kemudharatan dan bahaya bagi hambaNya, baik bahaya di dunia mahupun di akhirat. Baik difahami mahu pun tidak, baik di sedari ataupun tidak pasti kerana bahayanya. Semua perintah dan larangan Allah S.W.T ada HIKMAHnya.
Begitu juga dengan puasa Ramadhan yang akan kita jalani, pasti mengandungi manfaat dan faedah yang tersendiri. Walaupun masih ada lagi orang yang kalah dengan nafsunya beranggapan bahawa puasa itu hanya sebagai beban yang memberatkan, atau hanya ujian keimanan dari Allah , atau hanya sekadar suatu amalan ibadah yang berhak dihargai dengan suatu balasan dan pahala, atau hanya sekadar untuk latihan pengekangan nafsu atau hanya sekadar untuk mengangkat manusia dari darjat haiwan.
Di dalam agama lain pun ada disuruh penganutnya agar berpuasa, cuma caranya sahaja yang berlainan dengan yang disuruh di dalam Islam. Ada agama yang berpuasa tetapi bukan menahan lapar dengan tidak makan , tetapi hanya makan dan minum dalam bilangan yang lebih sedikit dari biasa. Itu masih tetap tidak relevan untuk dipanggil puasa, dan tiada hikmahnya pun. Kerana puasa yang berhikmah adalah puasa dengan tidak makan dari pagi hingga ke maghrib, dengan merehatkan perut dari bekerja sepanjang tahun.
*Kajian sains dan ilmu moden berkenaan kelebihan puasa*
Para penyelidik ilmu perubatan telah membuktikan bahawa puasa dapat membuang toksik / racun-racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit. Menurut Dr. Mac Fadon, seorang doktor dari Amerika, “Puasa adalah seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut.” Banyak kejayaan beliau mengubati pesakit-pesakitnya dengan menganjurkan mereka agar berpuasa sebagai alternatif kepada ubat-ubatan moden. Dan puasa bukan sahaja dapat menjaga kesihatan dan melawan penyakit bahkan dapat juga menajamkan minda kita.
Dalam ilmu biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak dapat berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila kita makan sampai terlalu kenyang, otak kita akan menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh pun akan rasa mengantuk dan malas. Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan.
Dr. Alan Cott, Seorang pakar perubatan Amerika Syarikat melaporkan terhadap penyelidikan psikologi membuktikan bahawa puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Ujian dilakukan terhadap sekumpulan orang yang rajin berpuasa dan sekumpulan orang yang tidak berpuasa. Keputusannya, ternyata menunjukkan bahawa orang yang rajin berpuasa memperolehi skor (markah) yang jauh lebih tinggi dalam ujian berbanding dengan orang yang tidak berpuasa.
Puasa juga insyaAllah dapat menyembuhkan pelbagai penyakit. Suatu kongres antarabangsa bertemakan “Kesihatan dan Ramadhan” telah diadakan di Casablanca, Morocco pada tahun 1996. Pakar-pakar perubatan dari seluruh dunia telah membentangkan lebih kurang 50 kajian ketika itu. Kesemua kajian itu mengesahkan puasa mampu mencegah serta menyembuhkan pelbagai jenis penyakit yang dihidapi manusia. Kesimpulan kongres itulah yang menekankan 4 fadhilat berpuasa dari sudut kesihatan yang jelas iaitu, menurunkan gula darah, tekanan darah, lipid darah dan berat badan.
Sedangkan dunia perubatan pula telah mengenal pasti pelbagai punca penyakit yang dialami masyarakat dunia masa kini dan antara penyakit yang paling kerap berlaku di dunia masa kini menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ialah disebabkan sindrom metabolik. Sindrom ini meliputi 4 masalah iaitu: (1) glukos darah tinggi (2) Tekanan darah tinggi (3) Lipid darah tinggi dan (4) lebih berat badan atau obesiti. Dengan hanya meneliti penyakit utama dunia kini dan kesan puasa pada tubuh badan dapatlah kita simpulkan bahawa berpuasa adalah sangat bersesuaian untuk mencegah penyakit sindrom metabolik yang melanda dunia masa kini.
Al-Harits seorang doktor Arab mengatakan :“Yang banyak membunuh manusia adalah kerana manusia suka memasukkan makanan pada perut sebelum makanan dalam perut dicerna.”
Dr. Alexis Carel seorang doktor antarabangsa dan pernah memperolehi penghargaan nobel dalam bidang kedoktoran telah menyatakan bahawa dengan berpuasa dapat membersihkan pernafasan.
Puasa dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu. Dan ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya. Sama juga ibaratnya seperti enjin kereta yang mungkin tidak tahan lama jika dipaksa untuk sentiasa berjalan tanpa henti.
*Saranan Rasulullah S.a.w , sahabat dan ulamak berkenaan puasa*
Menahan lapar di bulan puasa ataupun diluar bulan puasa mengandungi faedah dan manfaat yang sangat besar untuk kesihatan badan dan kesihatan hati manusia. Hal ini sudah diterangkan oleh Rasulullah S.a.w dan telah dicontohkan oleh baginda dan keluarganya;
Rasulullah S.A.W bersabda ; yang ertinya,“Berpuasalah supaya kamu sihat.” (Hadith Riwayat Abu Naiim)
Sabdanya lagi yang bermaksud, “Puasa adalah pelindung”. (Hadith Riwayat Muslim, Ahmad, dan an-Nasai)
Sayyidatina Aisyah rodhiyallohu anha berkata :
مَا شَبِعَ آلُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهم عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ خُبْزِ شَعِيرٍ يَوْمَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ حَتَّى قُبِضَ
“Keluarga Muhammad tidak pernah kenyang walaupun dengan roti gandum dua hari berturut-turut sampai beliau wafat.”(Muttafaqun alaihi)
Nabi S.a.w bersabda :
أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Orang yang paling banyak kenyang di dunia adalah yang paling lama lapar di akhirat.” (Hadith Riwayat Al-Bazzar)
Al-Imam Ath-Thabrani juga meriwayatkan dengan sanad hasan yang bermaksud; “Orang yang banyak kenyang di dunia mereka adalah orang yang banyak lapar di akhirat.”
Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan : "Dunia adalah penjaranya orang mukmin dan syurganya orang kafir.”
No comments:
Post a Comment