Thursday, August 4, 2011

Amalan Utama Di Bulan Ramadhan

Terdapat banyak amalan sunat yang menjadi keutamaan pada bulan Ramadhan. Antara amalan utama pada bulan Ramadhan ialah:

a. Menunaikan solat sunat Terawih pada setiap malam bulan Ramadhan.

b. Membaca dan bertadarus al-Quran.
c. Memperbanyakkan amalan sedekah.

Selain itu, terdapat juga amalan-amalan lain yang boleh di lakukan seperti qiamullail, beriktikaf di masjid dan sebagainya.


1. Solat Tarawih


Pengertian:

Solat sunat yang dikerjakan selepas solat insyak pada Bulan Ramadhan.

Dalil:

Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan ramadhan.
Hukum:
Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Cara Solat Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Insyak sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.
Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Insyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Insyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat Subuh.
Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, ditunaikan dua rakaat satu salam. Solat ini boleh ditunaikan sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat dan digalakkan berjemaah.

Kelebihan Sembahyang Tarawih:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

2. Tilawah Al-Quran

Pengertian:

Tilawah Al-Quran bermaksud membaca Al-Quran.

Kaifiatnya:


Membaca secara bersendirian atau bertadarus. Tadarus bermaksud membaca beramai-ramai secara bergilir-gilir, menyemak, membetulkan bacaan, serta memahami maknanya bersama-sama.


Adab-adab Membaca al-Quran:
  • Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.
  • Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.
  • Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu’ dan tenang.
  • Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.
  • Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta’awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta’awwudz.
  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.
  • Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.
  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.
  • Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.

Fadhilat dan hikmah:

i. Al-Quran memberi syafaat di akhirat.
ii. Menenangkan jiwa
iii. Menyembuhkan penyakit
iv. Menjauhkan diri daripada gangguan jin

3. Sedekah

Pengertian:


Mendermakan harta yang berlebihan melebihi keperluan kerana Allah s.w.t.


Kaifiat:

Mengeluarkan harta dan bersedekah kepada orang yang memerlukannya seperti orang miskin dan anak yatim.

Bersedekah mestilah ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk.

Fadhilat dan hikmah:

i. Menampung kecatatan puasa
ii. Di ampunkan dosa
iii. Pahala berlipat ganda
iv. Mendapat rahmat Allah s.w.t
v. Di jauhkan daripada azab neraka dan di dekatkan ke syurga.

 
Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).
Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). 
Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya. 
Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa. 
Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).
Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan. 
Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu.” (Hadis sahih). 
Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh. 
Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat.” (Al-Hadis). 
Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa. 
Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan. 
Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah. 
Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. 
Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan)


Sumber Rujukan:
1.Hamil @ Amir Abdul Hameed & Mohd Shukri Othman, 2008, Pendidikan Islam, Sasbadi.
2.Musyarawahab, 1995, Roh Ramadhan Aidil Fitri.
3.LaluKhidir, 1981, Puasa dan Aspek-aspek Kehidupan Manusia.


1 comment: