Monday, June 20, 2011

Solat Istikharah



Bila di sebut sahaja Solat Istikharah kebanyakan di kalangan kita hanya terkenangkan ketika hendak memilih jodoh. Ia begitu sinonim sekali dalam membuat keputusan untuk memilih bakal teman hidup tidak kira bagi lelaki atau perempuan. Perkara ini mungkin berlaku kerana penekanan di kalangan sesetengah Ustaz dalam soal istikharah ini dikaitkan dengan memilih jodoh sahaja.

Sebenarnya amalan Solat Sunat Istikharah ini skopnya lebih luas. Kita kadang-kadang tidak diberikan peringatan dalam soal ini.

Solat Istikharah ini sangat-sangat di galakkan oleh Rasulullah sebagaimana disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;
Mahfum Hadis:

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:



'Ya Allah, sesungguhnya aku meminta pilihan yang tepat kepada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon kekuatan kepada-Mu (untuk mengatasi persoalanku) dengan Mahakuasa-Mu. Aku memohon kepada-Mu sesuatu dari anugerah-Mu yang Maha Agung, sesungguhnya engkau Maha Kuasa, sedang aku tidak kuasa, Engkau Mengetahui, sedang aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah apabila Engkau mengetahui bahawa urusan ini (orang yang mempunyai hajat hendaknya menyebutkan persoalannya) lebih baik dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya dalam diriku atau-Nabi SAW bersabda: '...di dunia atau akhirat' - takdirkanlah (tetapkanlah) untukku, mudahkanlah jalannya, kemudian berilah berkah.

Akan tetapi apabila Engkau mengetahui persoalan ini membawa keburukan bagiku dalam agamaku, penghidupanku, dan akibatnya kepada diriku, atau Nabi SAW bersabda: '...di dunia atau akhirat' - maka singkirkan persoalan tersebut, dan jauhkan aku daripadanya, takdirkan (tetapkanlah) kebaikan untukku di mana sahaja kebaikan itu berada, kemudian berikanlah keridhaan-Mu kepadaku.'"
(HR. Bukhari, Abu Dawud,
At-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah)

Keterangan tentang Solat Istikharah
 
1. Solat Istikharah hukumnya sunat.
Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”

2.Boleh melakukan solat Istikharah pada bila-bila waktu, setelah solat yang wajib atau sebelumnya.

3. Boleh membaca Surah apa sahaja selepas Al-Fatihah kerana tidak ada dalil yang menetapkan surah tertentu.

4. Tidak ada keterangan bahawa seseorang apabila sudah solat Istikharah akan bermimpi melihat sesuatu, atau lapang dadanya.

5. Yang jelas bahawa Solat Istikharah adalah ibadah, ibadah harus ikhlas dan sesuai dengan contoh Rasulullah SAW, Istikharah termasuk juga zikir kepada Allah, dan zikir kepada Allah akan membuat hati menjadi tenang.

6. Yang harus kita perhatikan dalam solat Istikharah adalah apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Mereka adalah sebaik-baik manusia yang paling faham tentang maksud Rasulullah SAW.

7. Solat Istikharah cukup dilakukan sekali menurut hajat yang dibutuhkan, adapun berulang sampai tujuh kali tidak ada contohnya,


(Fiqhud Du'aa-Syaikh Mushthafa al-'Adawi
Hadiits Shalaatil Istikharaah Riwaayatan wa Diraayatan
- Dr. 'Ashim 'Abdullah al-Qaryuti)

No comments:

Post a Comment