Tuesday, August 7, 2012

Mencari Lailatulqadar



Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya:

    " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu bulan "

     
Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya:

    " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta
    mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
    dosa-dosa yang telah lalu "

    
Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya:

    " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
    akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "
    

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:

    " Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan
    dalam malam ganjil. "
    

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya:

    " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27. "

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
    " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:



 Maksudnya:
    " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah
    keampunan-Mu untukku. "

LAILATUL qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam lailatul qadar.
Tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatul qadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama lailatul syaraf bermaksud malam kemuliaan dan lailatul tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya lailatul qadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.
Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud:

“Sesiapa yang ingin mencari lailatul qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh”.
Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud:
Carilah dengan segala upaya kamu malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam akhir bulan Ramadan.
Jelas dari kedua hadis tersebut bahawa lailatul qadar itu hanya berlaku pada satu malam saja dari bulan Ramadan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh lailatul qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.
Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti :
•             Allah menyembunyikan lailatul qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.
•             Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.
•             Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
•             Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)
•             Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa jua bentuk maksiat.
•             Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
•             Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
•             Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.
Walau bagaimana pun berkaitan dengan lailatul qadar, para ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah :
•             Orang yang berkesempatan melihat malam al Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
•             Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.
•             Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.
•             Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu.


Lailatul Qadar Mengikut Panduan Imam Al-Ghazali


Kaedah mencari malam Lailatul Qadar mengikut panduan Iman Al-Ghazali;

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Ahad atau Rabu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-29.

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Isnin,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-21

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Selasa atau Jumaat,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-27

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Khamis,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-25

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Sabtu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-23



wallahuallam


No comments:

Post a Comment