Thursday, July 14, 2011

konsep perubatan islam


Allah s.w.t. berfirman (Al-Quran: al-Isra': 82):
Dan Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar
dan rahmat bagi orang yang beriman.
Dalam surah Fussilat:44 pula terdapat firman Allah:
Katakanlah bagi mereka yang beriman, al-Quran itu adalah petunjuk dan
penawar bagi mereka yang beriman. Mereka yang tidak beriman, pada
telinga mereka ada sumbatan, sedangkan al-Quran itu sesuatu kegelapan
bagi mereka. Mereka ini adalah seperti orang yang dipanggil dari tempat
yang jauh.
Sesetengah ahli tafsir menerangkan perkataan yang terdapat dalam surah di
atas (al-Isra':82) bukan Iit-tab'id , bererti bahawa al-Quran itu keseluruhannya
adalah penawar, bukan sebahagian daripadanya sahaja. AI-Quran boleh digunakan
untuk menangani sakit fizikal juga sakit yang berkaitan dengan hati, jiwa dan roh,
seperti kejahilan, kesesatan dan sebagainya. Kesejahteraan fizikal berkait rapat
dengan kesejahteraan hati. Mengenainya. Rasulullah s.a.w. ada bersabda:
Sesungguhnya pada jasad itu ada seketlul daging, apabila ia sejahtera,
maka sejahteralah keseluruhan jasad. Dan apabila rusak akan dia, maka
rusaklah keseluruhan jasad, iaitu hati. (Muttafaq 'alaih).
Menurut Ahmad Mahmud (1994:18), hal demikian tidak bererti bahawa al-Quran itu
digunakan sebagai tangkal, ataupun azimat, kerana baginda Rasulullah s.a.w. tidak
berbuat demikian dan tidak menyuruhnya, bahkan baginda adakalanya melakukan
rawatan dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan bahan-bahan semula jadi
untuk merawat dirinya. Baginda menyuruh mereka yang sakit, yang terdiri daripada
kaum keluarga juga para sahabat agar berbuat demikian.
Baginda juga melakukan rawatan bergantung kepada punca penyakit. Baginda
bersabda:
Sesungguhnya bagi setiap penyakit itu ada ubat. Maka apabila ubat itu
serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah 'azza wajalla
(Riwayat Muslim dari hadis Abi Az-Zubair dari jabir dari Rasulullah).
Menurut Muhammad Mahmud (1992:28-29), al-Quran, sama ada keseluruhannya
ataupun sebahagian daripada ayatnya adalah setinggi-tinggi penawar dan ubat
paling utama. Setiap huruf yang terkandung padanya merupakan penawar
penyakit jiwa, melahirkan ketenangan, penawar sakit dalaman dan luaran dengan
syarat adanya iman terhadap Allah, Pencipta segala yang wujud, yang menurunkan
al-Quran. Allah memberitahu bahawa al-Quran itu diturunkan sebagai peringatan
kepada manusia dan penawar bagi hati orang yang beriman (at-Taubah:30).
Dalam sebuah hadis daripada Ali bin Abi Talib r.a. disebutkan tentang sabda
Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:
(Sebaik-baik ubat itu adalah al~Quran –Riwayat at-Tarmizi).
Sebuah hadis lain dariliada Abu Said al-Khudri menyatakan adanya seorang lelaki
yang-telah datang menemui baginda Rasulullah s.a.w. mengadu dadanya sakit.
Baginda memberitahunya agar membaca al-Quran, kerana Allah s.w.t. ada
berfirman:
(Al-Q uran itu adalah penawar penyakit yang ada dalam dada).
Sebuah hadis lain, iaitu hadis daripada Jabir bin Abdullah menyatakan bahawa
Al-Fatihah itu adalah penawar semua penyakit kecuali maut)
- Riwayat Ibn Rahuwiyah daripada Ali r.a.
Pada satu hari seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah s.a.w. mengadu
kedua matanya sakit, lalu baginda berkata kepadanya:
(Lihatlah pada mashaf al-Quran).
Allah s.w.t. menjadikan manusia itu terdiri daripada tiga unsur utama, iaitu jasad,
roh dan akal. Allah meniupkan roh, setelah janin dalam perut ibu cukup sifatnya
(al-Hijr': 29). Ketika itu janin tadi hidup. Gabungan daripada roh insaniah dan akal
meletakkan maqam manusia itu lebih mulia berbanding dengan makhluk lain di
muka bumi ini, termasuk jin dan malaikat, membolehkan mereka menjadi khalifah
(a]-Baqarah:30), mentadbir muka bumi., dengan syarat mereka hendaklah beriman
kepada Allah. Andainya mereka tidak beriman, melanggar perintah Allah, maqam
mereka adalah lebih hina daripada binatang (A]-A'raf: 38).
Seperti jasad, roh juga memerlukan penjagaan yang rapi untuk memperoleh
kesejahteraan. Roh yang tidak sihat mencetuskan sakit yang berkaitan dengan roh
ataupun hati, seperti sifat takabur, riak, tamak, sifat hasad dan sebagainya. Sakit
yang berkaitan dengan roh akan melahirkan tingkah laku jahat manusia,
menyebabkan mereka lebih berkecenderungan melakukan kejahatan. Sakit
dalaman seperti ini merupakan ransangan utama yang akhirnya tercetus melalui
perlakuan jasad. Kerana itulah dikatakan bahawa kesejahteraan roh memberi
kesan pada kesejahteraan fizikal.
Roh adalah urusan Ilahi (Isra': 85). Roh yang sakit perlu dirawat dengan penawar
yang menepati Ar-Ruhiyyah asy-syar'iyyah yang melibatkan iman. Menurut. Riyad
Muhammad Samahah dalam bukunya bertajuk Dalilu aI-Mua'lijin bi aI-Qurani aIKarim,
sakit seperti ini, paling sesuai dirawat menggunakan al-Quran, doa-doa dan
sebagainya.
PRINSIP ASAS PERUBATAN
Setiap penyakit ada ubatnya. Allah s.w.t. yang menjadikan penyakit, Dialah yang
menyediakan ubatnya. Setiap sesuatu mempunyai sebab yang boleh dikaitkan
dengan tingkah laku manusia yang secara langsung berkaitan dengan rahsia llahi
yang tidak difahami oleh manusia.
Allah s.w.t. memerintahkan pesuruhnya, iaitu Muhammad s.a.w. agar memberitahu
mereka yang bertanyakan tentang roh, bahawa roh itu adalah urusan Ilahi
(Isra':85). Setiap sesuatu yang berlaku, termasuk penyakit dan masalah manusia
mempunyai sebab musabab. Pencipta sebab itu ialah Allah, al-Khaliq, yang
berkuasa melakukan sesuatu. Apabila ia hendak menjadikan sesuatu dan berkata:
jadilah, maka jadilah (Yasin: 82).
Asas Perubatan
Asas perubatan ada dua, iaitu penjagaan diri dan rawatan. Penjagaan diri lebih
baik daripada merawatnya. Allah s.w.t. melarang orang yang beriman daripada
membinasakan dirinya (al-Baqarah:195), tidak kira sama ada pembinasaan itu
melibatkan pemakanan yang memberi mudarat, yang terlarang, berlebihan dan
sebagainya. Allah s.w.t. menyuruh setiap orang itu makan dan minum, tetapi
melarang daripada mengambilnya berlebihan (al-Anam: 141).
Rasulullah s.a.w. ada bersabda:
(Perut itu ialah tempatpenyakit).
Menurut Shamsuddin Muhammad (t.t.:13), keperluan pada makanan itu ada tiga
tahap; iaitu semata-mata untuk keperluan, mencukupi dan berlebihan. Rasulullah
s.w.t. memberitahu bahawa makanan itu mencukupi dengan suapan kecil yang
menguatkan tulang belakang, ataupun makan memenuhi satu pertiga daripada
ruang perut, satu pertiga lain untuk air manakala yang bakinya untuk bernafas.
Inilah kaedah utama yang paling memberi manfaat pada penjagaan badan, kerana
perut itu tumpuan penyakit. Perut apabila penuh dengan makanan ruang minuman
menjadi sempit. Apabila minuman itu berlebihan, ruang bagi bernafas menjadi
sempit, menyebabkan seseorang itu sukar bernafas, penat dan terasa berat.
Semuanya ini menyebabkan berlakunya kerosakan hati, pergerakan tubuh menjadi
lembab dan malas untuk melakukan ketaatan dan membangkitkan nafsu syahwat.
Kesihatan adalah nikmat yang besar yang sering terabai. Sebuah hadis daripada
Ibn Abbas menyatakan tentang adanya seorang Arab yang bertanyakan Rasulullah
s.a.w. apa yang perlu ia pohon setiap kali selepas sembahyang lima waktu.
Baginda menjawab agar ia memohon kesihatan daripada AIlah. Lelaki tersebut
merasa tidak puas hati dengan jawapan tadi. Setelah bertanya buat kali ketiga,
baginda akhirnya menjawab agar ia memohon kesihatan di dunia dan akhirat.
Sesetengah ahli tafsir menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah
" " yang tersebut dalam ayat al-Quran (at-Takathur:8):
yang akan ditanya oleh Allah terhadap hambanya pada hari kiamat kelak ialah
kesihatan. Dalam sebuah hadis lain, daripada Abu Bakar as-Siddiq, menyatakan
yang ia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
Pohonlah kepada Allah keyakinan dan kesihatan. Tidak ada yang lebih baik
yang didatangkan kepada seorang selepas keyakinan itu selain kesihatan –
(Riwayat An-Nasaiy)
Kebersihan
Selain daripada bersifat sederhana dalam pengambilan makanan, kesihatan
memerlukan kebersihan, iaitu pada makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal
dan sebagianya. Kebersihan adalah faktor utama bagi kesihatan luaran dan
dalaman diri. Allah s.w.t. menegaskan agar setiap orang yang hendak
sembahyang membasuh muka, tangan, menyapu kepala dan kaki (al-Maidah:7).
Mesti bersih badan, tempat sembahyang dan pakaian kerana amalan seperti ini
membawa kepada kesihatan badan dan roh. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu
sukakan orang yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri (al-Baqarah: 222).
Penyakit Berjangkit
Rasulullah s.a.w. juga mengajar agar setiap orang itu menjauhkan diri daripada
penyakit berjangkit. Rasulullah s.a.w. seperti yang disebut dalam sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Naim, seperti yang tersebut dalam "At-Tibbu an-
Nabawi" tidak mengauli isterinya yang sakit mata, sehinggalah sembuh.
Daripada Ibn Abbas ia berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w.; jangan
kamu amalkan memandang mereka yang sakit kusta - Riwayat Ibn Majah.
Tersebut dalam at-Tibbu 'an-Nabawi bahawa sakit kusta itu ialah penyakit yang
berjangkit dan sakit keturunan. Baginda menegah seseorang itu daripada terus
menerus memandang mereka. Baginda juga pernah mengumpulkan para pesakit
kusta untuk hidup di kalangan mereka. Menurut Ibn Qutaibah, sakit ini boleh
menjangkiti mereka yang menghampiri pesakit dengan perantaraan bau. Ciuman
bau merupakan salah satu cara jangkitan.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh A-bu Daud dan at-Tarmizi daripada Usamah bin
Syuraik ia berkata bahaiwa orang-orang Arab telah bertanya kepada Rasulullah
sama ada mereka perlu berubat. Baginda menjawab:
Ya, wahai hamba Allah, berubatlah, sesungguhnya Allah tidak menurunkan
penyakit kecuali ia telah menetapkan baginya penawar kecuali satu.
Mereka bertanya, apakah yang satu itu, baginda menyatakan:
iaitu tua.
(Hadis Hasan Sahih. Lafaz oleh At-Tarmizi)
Setiap Penyakit ada ubatnya
Ternyata bahawa setiap penyakit itu ada ubatnya. Allah s.w.t. memberi penyakit,
Allah juga telah menetapkan ubat ataupun penawarnya, kecuali tua. Berdasarkan
keterangan hadis ini juga difahamkan bahawa tua itu adalah termasuk dalam
kategori penyakit, tidak kira sama ada tua itu benar-benar penyakit, ataupun ia
merupakan satu evolusi yang semestinya dilalui oleh semua manusia, yang
biasanya disertai dengan pelbagai penyakit dan masalah, yang tidak ada
penawarnya, ataupun ubat membolehkan orang yang tua menjadi muda, kerana
setiap orang itu mempunyai had umur. Apabila tiba masa mati, ketentuan itu akan
datang tanpa dapat dielakkan (al-A'raf:33). Maut adalah penghujung setiap
kehidupan, segala-galanya telah ditetapkan di Loh Mahfuz (al-An'am: 38).
Keterangan di atas membuktikan bahawa telahan mengenai umur seseorang sama
ada panjang ataupun pendek itu adalah urusan Ilahi. Begitu juga dengan harapan
untuk hidup ataupun untuk sembuh biarpun manusia melalui pengalaman yang
dilalui menurut lazimnya dapat menjangkanya.
Allah menurunkan penyakit. Dan setiap penyakit, sama ada sakit fizikal, mental
ataupun yang berkaitan dengan hati ada penawarnya. Rasulullah s.a.w. menyuruh
agar setiap orang yang sakit berusaha untuk berubat dengan pertolongan orang
lain yang pakar dalam bidang yang dimiliki, ataupun oleh diri sendiri. Jelas terbukti
bahawa tugas manusia di sini ialah berusaha untuk mendapatkan kesembuhan
menurut keupayaan dan kemajuan akal tanpa putus asa. Usaha dan ikhtiar adalah
tugas manusia manakala kesembuhan adalah urusan Allah yang telah ditetapkan
termaktub di Loh Mahfuz.
Allah s.w.t. apabila menghendaki kebaikan itu berlaku ke atas hambanya, Ia akan
menyegerakan balasan terhadap dosa-dosa yang dilakukan. Seorang lelaki telah
mengadu kepada Rasulullah s.a.w. menyatakan harta bendanya telah habis,
manakala badannya terasa sakit. Baginda menjawab yang bermaksud:
Tidak baik seorang hamba yang tidak hilang hartanya dan tidak sakit badannya.
Sesungguhnya Allah s.w.t. apabila ia mengasihi seseorang hamba Ia akan
mengujinya, dan apabila ditimpa bala maka Allah akan memberi kesabaran.
Kifarah
Kifarah adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh seorang
hambanya, juga ujian-ujian Allah itu boleh berlaku, yang mungkin melibatkan
kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda ataupun penyakit, tidak kira
sama ada penyakit tersebut berlaku dalam tempoh masa yang lama ataupun
sekejap bergantung kepada ketentuan (qada') Ilahi atau buat selama-lamanya
sehingga mati. Selagi ketentuan (qada') bagi sakit itu belum menepati qada' Allah,
maka sakit (kifarah) tadi tidak akan sembuh biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh
manusia jelas di.sini membuktikan bahawa ada di antara penyakit itu akan sembuh
dengan sendiri biarpun tanpa usaha manusia untuk mendapatkan kesembuhan
ataupun tidak akan sembuh biarpun banyak usaha untuk menyembuhkannya telah
dilakukan.
Sesungguhnya, apabila Allah s.w.t. itu mengaishi seseorang hamba Ia akan
mengujinya. Dan apabila Ia mengujinya, sama ada dengan menurunkan penyakit
dan sebagainya, Allah akan memberikan kesabaran. Dalam menghadapi cubaan
seperti ini, kesabaran adalah paling utama. Sesungguhnya orang yang bersabar
akan diberikan pahala mereka tanpa hisab (az-Zumar: 10).
Allah s.w.t. menetapkan martabat seseorang pada maqam-maqam tertentu.
Namun amalan-amalan yang dilakukan olehnya tidak membolehkannya mencapai
martabat yang ditetapkan. Untuk membolehkan hamba berkenaan mencapai
martabat tadi, Allah akan mengujinya, mungkin dengan menurunkan bala ke
atasnya, seperti sakit, kehilangan pancaindera dan sebagainya. Apabila diberi
ujian maka Allah akan memberi kesabaran. Dengan ini hamba berkenaan akan
mencapai martabat tersebut. Demikianlah kehendak Allah terhadap hambanya
yang dikasihi.
Sayyidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang
bermaksud: Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,
ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu
dosa. (Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslirn)
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud:
Rintihan orang sakit tercatat sebagai tasbih, kegelisahan dan jeritannya sebagai
tahlil, nafasnya seumpama sedekah, tidurnya sebagai ibadah dan kegelisahannya,
daripada satu,bahagian ke satu bahagian lain adalah bagaikan jihad kerana Allah
s.w.t. dan ditulis baginya sebaik-baik amalan yang pernah dilakukan semasa sihat.
Tidak dinafikan bahawa setiap sesuatu itu berlaku, mempunyai sebab musabab,
dan boleh dikaitkan dengan tingkah laku manusia, namun pada hakikatnya di
sebalik fakta-fakta yang dapat diterima akal rasionalnya, qada' dan qadar Ilahi itu
mengandungi rahsia-rahsia Ilahiyah yang tidak difahami oleh manusia.
Jelas disini membuktikan bahawa setiap pihak itu perlu memainkan peranan
masing-masing. Rasulullah s.a.w. menyuruh orang yang sakit agar berubat.
Pakar-pakar perubatan perlu berusaha, menyelidik dan mencari
penemuanpenemuan baru untuk menangani penyakit berdasarkan latar belakang
dan kepakaran masing-masing. Masalah kesembuhan adalah urusan Tuhan.
Semakin banyak dan mendalam penyelidikan dilakukan, seseorang itu akan lebih
insaf dan menyedari bahawa terlalu banyak ilmu yang tidak diketahui olehnya,
menyedarikan betapa terhadnya ilmu yang dimiliki berbanding dengan ilmu Allah.
Dari pengalaman seperti ini dan pengalaman harian menangani penderitaan, akan
lahir golongan manusia yang berupaya bersyukur kepada Allah dengan
menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menolong manusia, bukan untuk
kepentingan diri yang terlalu mengutamakan keuntungan, atau pun untuk
mengagungkan diri.
Ajal ditentukan oleh Alllah
Allah s.w.t. yang menentukan ajal. Apabila tiba masa, Allah akan memerintahkan
malaikat maut mencabut nyawa seseorang, menepati masa yang telah ditetapkan.
Ketika itu malaikat akan tahu ketentuan ajal seseorang, dan tidak mengetahui
sebelum itu. Hujah ini membuktikan bahawa ramalan-ramalan ahli-ahli nujum yang
memperkatakan tentang ketentuan ajal, adalah bertentangan dengan ajaran Islam.
Begitu juga dengan mereka yang terlibat dengan rawatan, jangkaan hayat itu boleh
diagak, sembuh atau tidak sembuh berdasarkan pengalaman dan kajian
kepakaran, namun ketentuan ajal tetap di tangan Tuhan.
Walaupun demikian, biarpun kematian itu tidak boleh diramalkan, namun semua
orang faham semakin lanjut umur seseorang, bererti semakin pendeklah kadar
hayat kerana setiap orang itu mempunyai ketetapan umur. Biar dalam keadaan apa
sekalipun, pesakit perlu diberi harapan. Sebuah hadis daripada Abu Said alKhudri
r.a. ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda:
Apabila kamu semua mengunjungi pesakit, hiburkanlah dia dengan lanjut
umur. Memang hiburan itu tidak menolak ketentuan Allah sedikit pun, dan
sebaliknya menyenangkan hatinya - Riwayat At-Tarmizi dan Ibn Majah.
Rasulullah s.a.w. juga meminta agar dibacakan Yasin di sisi orang yang hampir
mati:
Bacalah Surah Yasin di sisi orang yang menghadapi mati di kalangan kamu -
Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.
Surah Yasin dibaca tidak semestinya kerana ajal seseorang itu telah hampir, tetapi
ia dibaca agar orang yang berada dalam keadaan tenat itu disembuhkan Allah
s.w.t. andainya nyawanya masih panjang, ataupun diambil nyawanya dalam
keadaan tenang sekiranya ajalnya telah hampir, kerana Surah Yasin itu dibaca
menurut niat pembacanya.
Jauhi Bahan Ubat yang diharamkan oleh Allah
Sebuah hadis daripada Abu Ad-Darda' menyatakan:
Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat. Dan menyediakan
bagi setiap penyakfi itu ubat. Maka berubatlah, dan jangan berubat dengan
benda yang diharamkan - Riwayat Abu Daud.
Sebuah hadis riwayat, daripada Abu Hurairah menyatakan:
Barang siapa berubat dengan benda yang halal maka baginya kesembuhan,
Dan barangsiapa berubat dengan benda haram, Allah tidak akan
memberinya kesembuhan - Riwayat Abu Daud.
Dalam sebuah hadis lain baginda telah ditanya tentang arak yang dijadikan ubat.
Baginda menjawab menyatakan: Bahawa arak itu adalah penyakit bukan ubat.
Baginda juga menegah berubat dengan sesuatu yang kotor (al-khabth).
Ibn Arabi menjelaskan yang dimaksudkan dengan perkatan "al-khabth" di sini
menurut kata Arab bermaksud sesuatu yang tidak digemari. Andainya ia dirujuk
kepada percakapan, bererti celaan, pada agama bererti kufur. Andainya dirujuk
pada makanan bererti haram. Dalam sebuah hadis lain riwayat Azwad, dijelaskan
bahawa ubat yang kotor itu adalah seperti racun.
Sayyidatina Aisyah r.a. telah meriwayatkan sebuah hadis yang menyatakan
bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda yang bermaksud: "Setiap benda yang
memabukkan adalah haram. Setiap sesuatu yang banyak memabukkan, maka
sukatan sedikit, seperti satu genggam kecil juga haram hukurnnya (Maksud hadis
riwayat At-Tarmizi dan Abu Daud)"
Menurut satu riwayat daripada Abu Saleh Muhamad bin Al-Hasom dan Ishak bin
Ibrahim dan Harb, Abdullah, Al-Atram dan Ibrahim bin Al-Harta bahawa Rasulullah
s.a.w. telah mengharamkan daging keldai dan susunya dalam peperangan Khaibar,
dan mengharuskan minum kencing unta ketika darurat. Manakala mengambil ubat
yang boleh menyebabkan mabuk makruh hukumnya.
Menurut Imam Ahmad, harus merujuk satu-satu kes penyakit kepada tabib yang
terdiri daripada ahli zimmah mengenai ubat yang diharuskan, dan tidak perlu
menurut nasihatnya sekiranya ubat yang dicadangkan itu terdiri daripada ubat-ubat
yang diharamkan seperti arak dan sebagainya. Begitu juga tentang pendapatnya
mengenai puasa, keharusan berpuasa, sembahyang duduk dan sebagainya.
Pandangan seperti ini tidak boleh diterima, kecuali daripada dua orang Islam yang
adil, yang terdiri daripada pakar perubatan.
Menurut al-Marwazi, Imam Ahmad telah menyuruhnya agar tidak membeli ubat
yang dicadangkan oleh orang Nasrani, andainya tidak diyakini ubat itu selamat
daripada campuran benda-benda haram yang terdiri daripada benda-benda yang
beracun, najis dan sebagainya.
Sebuah hadis daripada Ummu Atiyyah, ia berkata, bahawa ia pernah menyertai
peperangan sebanyak tujuh kali bersama Rasulullah s.a.w. di belakang kaum lelaki,
dan bertugas menyediakan makanan, memberi minum kepada mereka yang cedera
dan merawat mereka yang sakit.( Maksud hadis riwayat oleh Muslim, Ibn Majah
dan Ahmad.)
Imam Ahmad berpendapat bahawa para tabib diharuskan melihat aurat perempuan
ajnabiah ketika darurat, begitu juga sebaliknya. AI-Marwazi pula berpendapat
harus menggunakan khidmat perempuan ajnabiah ketika seseorang lelaki itu sakit
begitu juga sebaliknya, dan diharuskan melihat sebahagian daripada auratnya
kerana hajat iaitu ketika ketiadaan lelaki ataupun mahramnya. Kaum wanita juga
harus memandikan mayat lelaki ketika tidak ada kaum lelaki untuk
memandikannya.
Begitu juga harus bagi kaum wanita mengambil ubat untuk memberhentikan
haidnya sekiranya ubat itu diyakini tidak memberi mudarat, iaitu sekiranya ia tidak
mempunyai suami, andainya ia mempunyai suami, keharusan itu bergantung
kepada izin suami (Abi Abdullah Mohammad, 1984:237).
HUKUM DAN AMALAN
Kaedah perubatan Islam sering disalah ertikan oleh masyarakat, dimana konsep
tersebut sering merujuk kepada:
1. Kaedah rawatan yang menggunakan doa-doa, yang merangkumi pelbagai
ungkapan kata yang mengandungi kata-kata pengaruh Islam, seperti
penggunaan kalimah salam, bismillah, nama-nama nabi dan rasul-rasul,
nama-nama malaikat, kalimah barakat dan sebagainya, termasuk kalimah
syahadah.
2. Anggapan seperti ini mencetuskan pemahaman seolah-olah kaedah-kaedah.
rawatan lain, selain daripada kaedah di atas, tidak termasuk dalam kaedah
yang dinamakan "Rawatan Islam" atau "Perubatan Islam". Mereka kata
bidang rawatan lain terkeluar daripada apa yang diistilahkan sebagai
Rawatan Islam.
Rasulullah s.a.w. ada bersabda menyatakan bahawa, kalau tidak kerana.tiga
perkara, manusia tidak akan insaf menundukkan kepalanya, iaitu kefakiran,
sakit dan kematian. Kebanyakan manusia akan mengingati Allah ketika
dalam keadaan susah, lalu dalam keadaan "desperate" dan putus asa
berdoa, untuk mengatasi penderitaan yang ditanggung. Jelas di sini
menunjukkan bahawa berdoa itu seolah-olah menggambarkan amalan
manusia yang telah putus asa, tidak ada harapan dan ikhtiar lain. Kerana itu
timbul tanda tanya yang boleh dijadikan ejekan atau senda, bagaimanakah
orang yang berdoa, yang biasanya terdiri daripada mereka yang putus asa,
tidak berupaya mengatasi masalah diri sendiri hendak melakukan rawatan.
4. Oleh kerana perubatan Islam itu diberi satu ruang lingkup terhad, yang
hanya merangkumi doa-doa ataupun ungkapan kata yang mengandungi
pengaruh Islam, mereka yang berpendidikan agama sering dianggap
sebagai berupaya menguasai bidang ilmu ini, kerana mereka ini dianggap
sebagai golongan yang menguasai pembacaan doa-doa dan sebagainya,
padahal ilmu perubatan tersebut adalah satu bidang ilmu khusus, di mana
didikan agama, biarpun di mana kurikulum pembelajaran itu didedahkan, ia
tidak merangkumi bidang Rawatan Islam yang melibatkan doa-doa. Dari
sinilah lahirnya golongan agama sendiri yang menafikan keperluan doa
sebagai salah satu kaedah rawatan.
Situasi seperti ini menyebabkan mereka yang melibatkan diri menggunakan doa doa
untuk tujuan rawatan sering menghadapi pandangan sinis, sindiran dan
cemuhan daripada mereka yang menafsirkan bahawa bidang yang mereka ceburi
itu sebagai terkeluar daripada Rawatan Islam, daripada golongan agama, dan
dianggap sebagai menggugat profession mereka yang melibatkan diri dengan
rawatan perubatan Melayu tradisional.
Memang benar kaedah perubatan Islam yang difahami umum sekarang ini
tertumpu kepada amalan-amalan yang mengandungi doa-doa yang terdiri daripada
ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis, doa-doa al-ma'thurat, doa-doa para salihin, doa doa
yang diamalkan oleh orang Melayu tradisional yang diyakini tidak bertentangan
dengan ajaran Islam, di samping penggunaan bahan-bahan tertentu, yang tidak
terlarang terutamanya air. Walaupun demikian, amalan dan kaedah ini tidak
mendakwa bahawa kaedah tersebut mencakupi keseluruhan apa yang difahami
sebagai "Perubatan Islam" yang disalahertikan dan menolak secara total atau
menafikan lain-lain kaedah rawatan termasuk rawatan di hospital dan klinik.
Ilmu seperti ini sesuai bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang perubatan
'alopathi' formal, terutamanya mereka yang berpendidikan agama, yang secara
langsung banyak mempelajari ilmu-ilmu al-Quran, hadis-hadis dan syariah Islamiah.
Walaupun demikian, ilmu seperti ini akan lebih mudah dan banyak memberi
manfaat dan sumbangan kepada mereka yang berlatar belakangkan orientasi
perubatan alopathi yang beragama Islam, kerana kaedah-kaedah dan bacaan bacaan
yang dituturkan adalah berlandaskan ajaran Islam yang perlu dijadikan
ikutan oleh umatnya. Dalam masa yang sama adalah difahami bahawa penyakit
pada hakikatnya berpunca daripada sebab yang banyak dan berbeza, yang
memerlukan rawatan yang berbeza menurut kesesuaian atau keserasian.
Masyarakat pada umumnya tidak dapat membezakan antara kaedah perubatan
Islam yang menggunakan doa-doa dan kaedah rawatan Melayu tradisional.
Rawatan yang menggunakan ungkapan kata yang mengandungi unsur-unsur Islam
seperti yang dijelaskan, tidak membuktikan bahawa kaedah yang diamalkan itu
merupakan kaedah perubatan Islam yang sebenar. Tukang-tukang tilik dan ramal
yang melibatkan diri dengan rawatan Melayu tradisional juga memanggil jin-jin
untuk melakukan sihir dengan menyebut kalimah-kalimah yang kedengaran seperti
sebutan a'uzubilLah, menyebut kalimah salam, sebutan nama-nama nabi, termasuk
kalimah syahadah. Keadaan seperti ini selain melahirkan keraguan dan
kecelaruan, ia juga memberi imej buruk terhadap mereka yang melibatkan diri
dengan kaedah Perubatan Islam yang menggunakan doa-doa seperti yang
dijelaskan.
Sebahagian daripada mereka yang melibatkan diri dengan rawatan Melayu
tradisional berdampingan dengan makhluk-makhluk halus, yang dibela, dibuat
sahabat ataupun saudara. Dari sinilah lahirnya mereka yang dikatakan mempunyai
kelebihan menilik pelbagai punca penyakit, meramal perkara-perkara ghaib, yang
telah berlaku dan yang akan datang, juga melibatkan diri dengan amalan sihir.
Inilah di antara kandungan ilmu kebatinan Melayu yang masih diamalkan sehingga
sekarang ini. Kekuatan atau keupayaan mereka pada hakikatnya terletak pada
sokongan makhluk-makhluk halus yang berdampingan, yang pada kebiasaannya
dilakukan ketika dalam keadaan menurun. Oleh kerana kekuatan yang mereka
miliki terjadi dengan sokongan makhluk-makhluk tadi maka kebanyakan sakit
dikatakan berpunca daripada gangguan makhluk-makhluk halus.
Oleh kerana penyakit itu sering dirujuk sebagai berpunca daripada makhlukmakhluk
halus yang terdiri daripada iblis dan syaitan ataupun sihir, yang
menyebabkan gangguan, ataupun lain-lain penyakit, pada hal ia sebenarnya
mungkin berpunca daripada lain-lain faktor, yang dapat dibuktikan seperti
ketegangan, ketidakseimbangan, kecederaan, akibat gangguan agen-agen parasit
seperti virus, kuman, kulat, toksin dan sebagainya, maka telahan-telahan
seumpama ini menyebabkan sebahagian daripada masyarakat menolak sama
sekali kaedah perubatan tradisional, termasuk kaedah yang menggunakan ayatayat
al-Quran.
Salah Faham Rawatan Islam & Rawatan Tradisional
Prinsip dan kaedah pembelajaran mereka yang melibatkan diri dengan rawatan
Melayu tradisional dan rawatan yang diistilahkan sebagai Rawatan Islam yang
menggunakan doa-doa adalah berbeza. Walaupun demikian, oleh kerana
maklumat mengenai rawatan Islam itu tidak dimengerti oleh sebahagian besar
masyatakat; akibat pendedahannya yang terhad dan akibat kekaburan maklumat
sebenar rawatan Melayu tradisional, yang sering menjadi rahsia daripada
pengetahuan umum, yang berselindung di sebalik prinsip ilmu kebatinan, maka
masyarakat umumnya menganggap kedua-duanya sebagai kaedah rawatan yang
sama, apatah lagi dengan adanya golongan tertentu yang mencampuradukkan
kaedah-kaedah rawatan tradisional dengan pelbagai elemen pengaruh Islam
seperti yang dijelaskan diatas.
Keadaan seperti ini menjadi lebih gawat dan tidak menentu apabila pihak yang
dianggap sebagai memahami kaedah-kaedah rawatan Islam, yang sebenarnya
tidak tahu hakikatnya cuba memperkatakan mengenainya. Hukum sihir itu adalah
jelas. Ia termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Tegahan mengenainya
termaktub jelas dalam al-Quran, hadis dan kitab-kitab, tetapi untuk mengidentifikasi
hakikat sihir, ia memerlukan satu bidang ilmu lain yang memerlukan penyelidikan
yang serius. Adalah terlalu malang bagi mereka yang hanya mengetahui hukum larangan
mengenai sihir, tetapi tidak tahu hakikat sihir cuba memperkatakan
tentang rawatan Melayu tradisional ataupun Rawatan Islam.
DOA DAN RAWATAN
Allah s.w.t. menyuruh setiap orang Islam agar sentiasa berdoa kepadanya, dan Dia
akan memperkenankannya (Ghafir: 60, Ibrahim: 34). Orang yang berdoa, bererti ia
ingatkan Allah. Allah mahukan setiap hambanya agar mengingatinya pada zikir
lidah juga pada setiap amalan. Setiap perbuatan mesti dilakukan kerana Allah
membolehkan perbuatan itu diperkira sebagai ibadah, termasuk amalan yang
melibatkan rawatan, yang akan diberi ganjaran. Inilah yang membezakan, antara
amalan yang dilakukan sebagai adat dan ibadah. Apabila sesuatu perbuatan itu
termasuk dalam kategori ibadah, segala tindak tanduk yang bertentangan dengan
ajaran syariah perlu dihindarkan.
Pada hakikatnya, berdoa bukan amalan orang yang lemah, putus asas atau tidak
mempunyai harapan setelah banyak ikhtiar dilakukan tetapi gagal. Doa ialah
senjata orang yang beriman. Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda, menyatakan
bahawa;
(Doa itu adalah otak ibadah).
Bererti bahawa setiap ibadah itu mesti bermula atau disertai doa.
Untuk hidup sejahtera, manusia perlukan otak. Ibadah seseorang itu perlukan otak.
Pada manusia, otak ibadah itu ialah doa. Pada manusia, otak adalah organ yang
sangat kompleks, pusat segala aktiviti, menjalankan fungsi berfikir, punca reaksi
seperti takut, bimbang, rasa sensitif dan sebagainya, mengawal pergerakan tubuh
yang tidak boleh diganti apabila rosak. Gangguan pada otak menyebabkan
berlakunya gangguan emosi, yang mungkin boleh membawa maut. Kita lihat di sini
betapa pentingnya otak dalam kehidupan manusia, begitulah keperluan doa dalam
ibadah, seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang tidak boleh dinafikan.
Doa-doa yang dibaca, sama ada yang terdiri daripada ayat-ayat al-Quran, sumber
hadis dan lain-lainnya hanya merupakan satu kaedah ataupun wasilah dalam
usaha mendapatkan kesembuhan, yang dituturkan dengan lidah dan niat dalam
hati. Begitu juga dengan bahan-bahan yang digunakan, sama ada air zam-zam
atau air biasa. Kesembuhan sebenar adalah daripada Allah s.w.t. Apabila Allah
s.w.t. memperkenankan doa seseorang, maka Allah akan memberi kesembuhan,
biar betapa besar atau kecilnya penyakit atau masalah yang dihadapi oleh
seseorang, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa dan tidak digagahi oleh sesiapa
pun. Urusan Allah, apabila ia menghendaki sesuatu dengan berkata: jadilah, maka
jadilah (Surah Yasin: 82).
Jelas disini bahawa kata-kata atau sindiran adakah doa boleh menyembuhkan
penyakit atau tidak bukan persoalan utama, sama seperti persoalan yang
ditimbulkan oleh golongan tertentu sama ada amalan merawat menggunakan doa
dan air itu boleh dipanggil sebagai Perubatan Islam.
Kisah Sahabat Nabi merawat dengan Surah Al-Fatihah
Dalam sebuah hadis daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia menjelaskan adanya satu
kumpulan sahabat Rasulullah s.a.w. yang keluar pergi musafir. Di tengah
perjalanan mereka telah singgah di sebuah perkampungan Badwi. Mereka telah
meminta makanan, tetapi penduduk kampung tersebut enggan memberinya.
Dengan takdir Allah s.w.t., tidak lama setelah itu, ketua kampung berkenaan telah
disengat binatang. Mereka telah berusaha untuk mengubatinya tetapi gagal.
Sesetengah daripada mereka mencadangkan agar mereka meminta pertolongan
daripada kumpulan orang Islam yang singgah di kampung tadi. Mungkin mereka
boleh membuat sesuatu untuk merawat.
Mendengarkan harapan yang begitu tinggi terhadap mereka, sebahagian daripada
orang Islam tadi memberitahu bahawa mereka boleh menolongnya, tetapi oleh
kerana penduduk tersebut pernah menolak permintaan mereka sebelum itu,
mereka tidak akan menolongnya kecuali setelah berjanji memberi upah.
Rombongan itu bersetuju atas permintaan tadi untuk memberi beberapa ekor
kambing. Orang Islam yang berkenaan datang menemui ketua kaum yang sedang
sakit, lalu dihembusnya dengan air ludah pada tempat yang sakit tadi sambil
membaca: "AlhamdulilLah". Dalam satu riwayat lain disebutkan bahawa doa yang
dibaca ialah Surah al-Fatihah lalu perawat tadi mengumpulkan air ludahnya dan
dihembuskan, menyebabkan pesakit beransur sembuh. Dalam satu riwayat lain,
dijelaskan bahawa upah yang diberi ialah tiga puluh ekor kambing.
Keterangan hadis ini memperlihatkan bahawa Surah al-Fatihah itu amat besar
fadilatnya, di antaranya ialah untuk merawat pesakit akibat terkena racun, seperti
disengat kala jengking, lipan dan sebagainya.
Dijelaskan juga dalam keterangan hadis ini bahawa perawat, dengan izin Allah
berjaya melakukan rawatan dengan membaca Ummu al-Qur'an (Surah al-Fatihah).
Kalau difikiri dari segi logiknya, terlalu sukar untuk menerima hakikat, bahawa
pesakit boleh sembuh hanya dengan bacaan Surah al-Fatihah dan sedikit
hembusan air ludah.
Setiap orang Islam boleh dikatakan tahu membaca Surah al-Fatihah, tetapi untuk
meyakinkan bahawa bacaan yang dituturkan membolehkan seorang pesakit,
seperti sakit terkena gigit kala jenking ataupun lipan boleh sembuh, sering
dirasakan seupama sesuatu yang sukar diterima. Malah kita sendiri mungkin tidak
yakin bahawa usaha seperti ini boleh berjaya. Tetapi, kesembuhan seperti ini
bukan sesuatu yang mustahil, kerana Allah s.w.t. itu maha berkuasa, tidak digagahi
oleh sesuatu, apabila Ia menghendaki sesuatu, Ia berkata: jadilah maka jadilah
(Surah Yasin: 82).
Doa yang makbul
Allah s.w.t. menyuruh setiap hambanya agar berdoa, memohon kepadanya, dan
Allah s.w.t. akan memperkenankannya, sama ada diberi dengan cepat, lambat,
diberi ketika seseorang itu hidup di dunia ataupun di akhirat kelak. Jelas di sini
bahawa bukan sesuatu yang mustahil doa-doa yang dibaca oleh seseorang itu
boleh menyebabkan sakit yang dideritai oleh seseorang itu sembuh dengan izin
Allah, biar betapa berat derita yang dialami atau betapa besar masalah yang
ditanggung oleh seseorang.
Doa-doa yang dibaca hakikatnya bukan merupakan faktor utama kesembuhan.
Dua orang yang cuba merawat pesakit dengan menggunakan bacaan Surah al-
Fatihah, ataupun lain-lain doa, tidak semestinya melahirkan natijah yang sama.
Mungkin salah seorang daripada pesakit akan sembuh, ataupun semakin teruk,
padahal doa yang dibaca adalah sama. Hal demikian membuktikan bahawa doadoa
yang dituturkan hanya merupakan salah satu usaha rawatan, ataupun usaha
untuk memperoleh kesembuhan. Kesembuhan yang sebenar ialah kemakbulan
daripada Allah s.w.t. iaitu apabila doa-doa yang dibaca itu dikabulkan.
Kemakbulan ataupun kemustajaban doa yang dibaca pula berkait rapat dengan
taraf ataupun kualiti diri seseorang di sisi Allah. Semakin hampir seseorang itu
kepada Allah, maka semakin mudahlan doa-doa yang dipohon itu dikabulkan.
Orang yang hampir kepada Allah ialah mereka yang bersifat warak, zuhud dan
taqwa. Apabila seseorang hamba itu hampir kepada Allah, maka Allah akan
mengasihinya.
Orang-orang yang dikasihi Allah ialah mereka yang melakukan amalan-amalan
yang difardukan, juga amalan sunat secara terus menerus. Allah akan memberi
kekuatan dan memperkenankan doa-doa andainya ia memohon, dan
melindunginya apabila ia berbuat demikian.

sumber 

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din

Monday, July 11, 2011

Perubatan islam

Perubatan Islam mulai muncul pada zaman selepas kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan ia terus berkembang sepanjang abad-abad ketamadunan Islam. Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak mempunyai bidang perubatannya sendiri. Selepas kedatangan Islam didapati ramai tokoh-tokoh yang terkenal dalam bidang perubatan Islam seperti Al-Razi, Ibn Sina dan Ali Ibn Abbas.
Ilmu perubatan Islam ini diamalkan dengan luasnya ketika tamadun Islam mencapai kemuncak kegemilangannya. Pada mulanya ilmu ini telah dicedok dari pengaruh tamadun kuno dan kemudiannya dimajukan lagi sejajar dengan perkembangan tamadun Islam. Unsur dan pengaruh kuno adalah kebanyakannya berasal dari ilmu perubatan Yunani atau sistem perubatan Hippocrates, dan juga amalan-amalan perubatan dari India dan China. Ibn Sina dan Al-Razi telah terus mengevolusi dan memberi suatu bentuk dan corak tersendiri kepada sistem ilmu perubatan Islam.
Namun selepas empayar Islam yang gemilang mulai lesap, banyak karya perubatan dari zaman Islam mulai muncul dalam bahasa Latin dan mempengaruhi cara pemikiran dan amalan sistem Barat. Di benua kecil India, sistem ini terus bertapak dan diamalkan disamping sistem perubatan Ayurveda dan sistem perubatan Barat moden.

LATAR BELAKANG ILMU PERUBATAN ISLAM
Kira-kira 200 tahun sebelum Hijrah, tapak-tapak tamadun gemilang telah mulai runtuh disebabkan peperangan dan penyakit yang merebak melanda penduduknya. Kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman mulai lumpuh. Syria pula telah mengambil tempat sebagai pelindung bagi pemikiran ilmu perubatan asal dari Yunani. Puak Nestorian telah menubuhkan pusat-pusat pengajian perubatan di Edessa dan Nisibis dan berkembang ke peringkat yang disanjungi ramai menjelang abad ke-5 M. Puak Kristian mazhab Nestorian inilah yang membawa tamadun Yunani bersama mereka ketika diusir. Mereka menterjemah karya-karya perubatan Yunani ke bahasa Syria dan mengembangkannya ke Mesopotamia.
Apabila orang Arab disatukan di bawah pemerintahan Islam dan seterusnya menewaskan Syria dan Parsi, mereka telah menemui tamadun ini. Kuasa Islam terus bertapak sehingga keseluruh Afrika Utara dan Sepanyol. Dalam abad inilah tokoh-tokoh Islam menyerap tamadun yang terdapat di kalangan puak-puak yang ditewaskannya. Khalifah-khalifah Islam telah membina pusat-pusat pengajian di Baghdad. Selepas itu akademi-akademi mulai ditubuh di Samarkand, Isfahan dan Damsyik. Akademi-akademi tersebut berpusat di masjid. Di masjid juga terdapat perpustakaan yang lengkap, klinik dan hospital. Doktor-doktor mazhab Nestorian dan Sabaen telah menterjemahkan buku-buku teks perubatan terutamanya karya-karya Galen.
Kecenderungan umat Islam keturunan Arab terhadap ilmu perubatan terus mencipta suatu sejarah baru dalam perkembangan perubatan. Dengan ini ilmu perubatan mula berkembang semula di bawah naungan Islam mengikut ajaran Hippocrates. Ilmu perubatan Islam berkembang pesat melalui sumbangan dari berbagai sumber dan arus yang mempengaruhinya mengikut tempat dan masa. Sumbangan Islam kepada perkembangan ilmu perubatan bukan sahaja terbatas pada penterjemahan karya-karya Yunani tetapi mereka juga meninggikan bidang kimia dan materia medika. Tidak dinafikan bahawa hingga ke abad ke-18 M masih wujud lagi pusat-pusat perubatan di Eropah yang menggunakan karya-karya ciptaan pakar-pakar perubatan Islam yang terkemuka umpamanya Ibnu Sina, Al-Razi, Ibnu Rusyd dan lain-lain. Sumber-sumber dari Parsi dan Hindu juga merupakan asas pengajian umat Islam pada masa itu. Dari arus-arus sejarah inilah unsur-unsur ilmu perubatan Islam mula bertunas dan ini dipadankan pula dengan prinsip-prinsip ajaran Islam.

TOKOH-TOKOH DALAM PERUBATAN ISLAM
HUNAYN IBNU ISHAQ
Beliau merupakan seorang pengamal perubatan dan penterjemah yang terkenal. Beliau juga dikenali sebagai Joannitius yang dilahirkan di Hirah (Iraq) dan mempelajari ilmu perubatan di Baghdad. Khalifah al-Ma’mun (813-833 M ) melantik beliau menjadi pengarah Institut al-Hikmah. Semasa pemerintahan Khalifah al-Mutawakil (847-861 M) beliau dilantik sebagai doktor istana.
Hunayn Ibnu Ishaq telah berjaya menterjemah buku Materia Medika oleh Dioscorides, Aphorisma oleh Hippocrates dan hampir semua karya Galen. Terjemahan buku-buku ini ke dalam bahasa Arab adalah sangat berguna untuk pendidikan perubatan asas.

ABU BAKAR MUHAMMAD IBNU ZAKARIA RAZI ATAU AL-RAZI
Tokoh Islam ini dikenali dengan nama Rhazes dan digelar sebagai Gaken Arab. Meyerhoff dalam buku Legacy of Islam menganggap Al-Razi sebagai seorang pengamal perubatan yang teragung dalam dunia Islam malah di dunia. Al-Razi dilahirkan di bandar Rai berdekatan dengan bandar Taheran. Beliau mendapat pendidikan awal di Baghdad yang menjadi pusat pendidikan. Beliau mempelajari ilmu perubatan dengan Hunayn yang merupakan seorang pakar dalam perubatan Parsi dan India. Al-Razi pulang ke kampung halamannya dan bertugas sebagai pegawai perubatan.
Kemahiran beliau dalam bidang perubatan tertumpu dari segi prognosis penyakit. Analisa beliau amat tajam tentang gejala dan kesan-kesan sesuatu penyakit dan cara perawatan serta pemulihan yang begitu lengkap dan mendalam. Beliau juga merupakan pengasas perubatan psikosomatik. Selain itu Al-Razi mempunyai pengetahuan yang agak mendalam tentang bidang anatomi. Sumbangan Al-Razi yang terkenal di dunia Barat adalah karya beliau. Di antara dua buah karangannya yang terbesar ialah sebuah ensiklopedia perubatan amalan dan terapeutik yang berjudul Kitab Al-Hawi. Buku teragungnya yang kedua ialah Kitab Al-Mansur. Buku ini dianggap suatu hasilnya yang tulen dan tersendiri yang mencerminkan kematangan tokoh perubatan Islam ini tentang amalan perubatan moden. Sumbangan Al-Razi terhadap ilmu perubatan dan farmakologi tidak terkira banyaknya. Beliau merupakan tokoh yang ulung sekali mengenali penyakit cacar serta cara menyembuhkannya dengan berjaya.

ABU QASSIM KHALAF IBNU AL-ZAHRAWI
Abu Qassim Khalaf atau lebih dikenali di Eropah dengan nama Abulcassis. Beliau dilahirkan di bandar Di Raja Al-Zahrah dalam tahun 936 M. Beliau merupakan seorang pengamal perubatan, pakar bedah dan Pharmacist. Sumbangan beliau terhadap bidang perubatan dapat difahami dari buku Al-Tasrif. Buku ini meliputi tajuk-tajuk yang luas dan menyentuh pelbagai bidang perubatan. Pada abad ke-12 M, nama Abu Qassim mulai harum sebagai ahli bedah dan ketokohannya dapat disamakan dengan Celcus dan Paulus dalam bidang perubatan.

ABU ALI HUSSAIN IBNU ABDULLAH IBNU SINA
Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai Avicenna dikalangan orang Barat merupakan seorang tokoh politik dan perubatan, falsafah dan fiologis yang terkenal di dunia. Beliau dilahirkan di Isfahan. Pada masa kecil lagi Ibnu Sina mempelajari bahasa Parsi dan Arab. Semasa berumur sepuluh tahun, beliau telah menghafal Al-Quran dan mula mempelajari ilmu perubatan ketika berumur enam belas tahun. Dua tahun kemudian, beliau menjadi terkenal apabila beliau dapat menyembuhkan sultan setelah doktor-doktor yang berpengalaman gagal. Beliau selepas itu telah dilantik menjadi doktor istana. Dengan itu beliau telah mendapat peluang keemasan kerana beliau telah diberi kebebasan menggunakan perpustakaan istana yang sangat kaya dengan pelbagai jenis buku.
Beliau menghasilkan buku yang pertama ketika berumur dua puluh satu tahun. Sepanjang hayat Ibnu Sina, beliau telah menulis sebanyak 456 buah buku. Karyanya yang paling masyhur dalam bidang perubatan ialah Al-Qanun fi Al-Tibb. Ia dijadikan sebagai buku teks perubatan di negara Islam dan Eropah selama 600 tahun.
Ibnu Sina telah dapat membincangkan penyakit - penyakit seperti tetanus, pleuritis, antraks dan diabetes dengan tepat. Beliau juga memberi gambaran klinikal yang tepat mengenai meningtis dan diagnosis. Sumbangan beliau terhadap bidang farmasi juga tidak kurang pentingnya. Dalam bukunya beliau telah membincangkan tentang proses penyediaan ubat . Beliau menyenaraikan pelbagai jenis ubat seperti antidot, pes, preservatif, jem, lozeng, pil, minyak , salap dan infusi. Beliau juga menyentuh mengenai kepentingan dos. Sumbangan ini telah menggalakkan pertumbuhan sejarah farmasi dengan secara langsung.
Ramai lagi tokoh Islam dalam perubatan yang muncul selepas Ibnu Sina. Sumbangan mereka terhadap perubatan moden tidak boleh diperkecilkan. Boleh dikatakan asas ilmu perubatan moden sekarang berasal dari konsep-konsep yang ditimbulkan oleh pakar-pakar perubatan Islam. Tanpa sumbangan ini peruabatan moden tidaklah semaju sekarang. Malangnya, selepas keruntuhan kota Baghdad telah menyebabkan ilmu-ilmu yang dikumpulkan oleh orang-orang Islam terhapus. Orang-orang Barat telah mengambil langkah yang kejam seperti memusnahkan buku-buku hasil karya Islam setelah mereka menguasainya.

ILMU-ILMU ASAS DALAM PERUBATAN ISLAM
Dalam zaman tamadun Islam tidak terdapat bukti yang menunjukkan bahawa ahli-ahli perubatan Islam pernah membedah mayat manusia. Walaubagaimanapun ulama fikah yang terakhir telah mengharuskan pembedahan mayat untuk tujuan pembelajaran. Abdul Latif Al-Baghdadi selepas memeriksa beratus-ratus struktur rangka manusia telah merumuskan bahawa tulang bawahan manusia terdiri daripada satu sahaja.
Ahli perubatan Islam mengasaskan pentafsiran mereka tentang fungsi anggora badan manusia dan proses penghayatannya mengikut teori Jalinus. Daripada pentafsiran yang dibuat, mereka mendapati bahawa badan manusia terdiri daripada tiga unsur iaitu cecair, bebeku dan roh. Cecair adalah terdiri daripada humour dan unsur ini terbahagi kepada empat iaitu darah, kahak, hempedu kuning dan hempedu hitam. Keempat-empat unsur ini mempunyai ciri-ciri yang tersendiri.
Darah adalah cecair yang panas dan basah. Darah terjadi di dalam limpa daripada makanan yang dihadamkan. Kemudian darah ini mengalir ke urat-urat halus dalam badan. Kahak adalah cecair sejuk dan basah. Tempatnya ialah di dalam urat-urat, berperam dan masak di sana untuk dijadikan makanan anggota-anggota badan. Manakala hempedu kuning adalah cecair yang panas dan kering. Hempedu kuning adalah berpunca daripada pundi-pundi kuning di dalam limpa dan terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang mengalir ke dalam usus di mana ia dibersihkan daripada lendir dan bahagian yang kedua menuju ke perut untuk membantu proses penghadaman. Hempedu hitam pula merupakan cecair yang sejuk dan kering. Ia dikeluarkan oleh hati yang menyimpan bahagian yang terbaik daripadanya dan menghantar sebahagian yang lain ke pangkal perut. Ini adalah untuk membuka selera makan. Bebeku adalah yang terdapat dalam badan manusia iaitu daging, tulang dan lain-lain. Roh yang terdapat di dalam manusia terbahagi kepada tiga bahagian iaitu roh tabi’i yang berpunca dari hati, roh hidup berpunca dari akal fikiran dan roh haiwan berpunca dari otak yang merupakan pusat tertinggi bagi perasaan dan pergerakan.
Para ahli perubatan Islam telah membina teori yang mengatakan bahawa penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan atau kerosakan struktur keempat-empat cecair di dalam badan. Ketidakseimbangan ini menyebabkan badan tidak stabil. Rawatan diperlukan untuk membantu badan mengembalikan keseimbangannya iaitu dengan memberikan makanan atau ubat yang berupaya melawan penyakit tersebut.

SUMBANGAN ISLAM DALAM PERUBATAN
Tidak dinafikan tokoh-tokoh perubatan Islam banyak menyumbangkan ilmu perubatan mereka kepada dunia perubatan. Kejayaan mereka telah mendapat penghargaaan yang tinggi di kalangan pengarang dunia Barat. Oftalmologi merupakan sumbangan yang terkemuka dalam perubatan Islam. Istilah-istilah seperti retina dan katarak yang digunakan dalam oftalmologi sekarang adalah berasal dari orang Arab. Orang Arab juga telah membuat sumbangan yang penting terhadap beberapa jenis penyakit mata dan rawatannya. Satu keadaan yang dinamakan Pannus terdapat dalam penyakit Trakoma telah dijelaskan oleh orang Arab. Glaukoma merupakan suatu keadaan peningkatan tekanan dalam bebola mata telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh orang Arab.
Sumbangan tamadun Islam terhadap farmasi, farmakologi fan farmakognosi masih ketara hingga kini. Materia media penulisan orang Islam masih lagi digunakan di Afrika Utara, India, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain di Asia. Secara umumnya tokoh-tokoh Islam telah menghasilkan tiga prinsip penting.
 Dalam bidang kimia ubat dan alkemi, tokoh-tokoh Islam telah memperkenalkan kepada dunia betapa pentingnya kejituan pemerhatian, kawalan percubaan dan penyimpanan rekod. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini masyarakat Islam telah merangsang dan menggalakkan pertumbuhan serta perkembangan kimia di Eropah.
 Orang Islam buat pertama kalinya telah menubuhkan kedai apotekari dan dispensari yang mempelopori pusat pengajian farmasi.
 Umat Islam merupakan masyarakat yang pertama sekali melaksanakan pengawalan etik farmasi melalui undang-undang pemeriksaan. Formulasi farmaseutikal terkawal telah diterbitkan oleh umat Islam dan menggariskan secara rasmi penyediaan dan penyimpanan ubat.
Di samping itu pelbagai bentuk dos ubat telah dikemukakan oleh tamadun Islam. Diantaranya ialah dalam bentuk salap, serbuk, minyak, pes, pil tablet, rebusan, sirap dan lain-lain. Selain cara-cara membuat ubat, umat Islam adalah umat yang pertama sekali melaksanakan kawalan mutu ke atas hasilnya. Seorang pegawai khas akan dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan pengawalan mutu.

KESIMPULAN
Islam dalam zaman kegemilangannya telah memberi sumbangan yang terbesar dalam bidang perubatan kepada manusia dengan menghasilkan beberapa tokoh yang ternama dalam bidang tersebut. Mereka bukan sahaja mahir dalam perubatan tetapi juga dalam beberapa ilmu di luar perubatan yang diwarisi dan dimajukan oleh dunia Barat.
Sementara itu beberapa inovasi baru telah dibuat seperti pengawasan ubat, kod etnik perubatan dan kursus lanjutan perubatan. Sumbangan tokoh-tokoh pengamal perubatan Islam kepada dunia ialah dari segi mengenalpasti penyakit dan juga cara rawatannya. Sementara itu pula, oftalmologi merupakan suatu bidang yang sangat maju pada masa itu. Ubat-ubatan tradisional pula masih boleh digunakan sampai kini.

RUJUKAN
 Konsep Perubatan Islam oleh Danial Zainal Abidin. (Pustaka Nahnu, Pulau Pinang, 1988)
 Islam dan Perubatan oleh Alwi Mohd Yunus (ED). (Institut Perkembangan Minda Kuala Lumpur, 1997)
 Kedoktoran Islam oleh Ahmad Taha. (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur 1992)
 Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan oleh Ismail Samad. (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia Kuala Lumpur, 1985)