Tuesday, March 19, 2013

Zikir sebagai Penyembuh Diri


Konsep berzikir yang diamal secara beristiqamah dapat memberi tenaga yang kuat dalam tubuh badan dan membentuk aura positif sebagai benteng diri dari unsur negatif.

1. Firman Allah s.w.t

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
"ketahuilah dengan mengingat Allah itu hati akan menjadi tenang" (Ar-Ra'du:28)

2. Ini bertepatan dengan hadis Nabi s.a.w yang bersabda:

"Dalam jasad anak Adam ada seketul daging, jika ia baik maka baiklah segala anggota badan yang lainnya. Jika buruk maka buruklah seluruh anggota yang lainnya maka ketahuilah ia ada lah Hati (Bukhari dan Muslim)

3. Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani pernah berkata:

"Tiada yang membezakan seseorang wali itu dengan manusia yang lain dari segi amalannya kecuali ia memiliki kekuatan jiwa yang besar dan hebat dalam menghadapi musibah. Dan bagi wali itu karamah yang paling besar ialah istiqamah dengan Tuhannya, redha dan patuh pada qada dan qadarnya."

4. Berkata pula para Ariffinbillah:

"Keimanan seseorang itu bukannya boleh diukur dengan ibadat luarannya tetapi lihat bagaimana ubudiyahnya dalam menghadapi ujian dari Allah s.w.t

5. Para pencinta Allah juga sering mendapat ujian daripada Allah, malah dugaan mereka jauh lebih berat berbanding dengan manusia biasa, namun dengan pemilikan jiwa yang teguh dan bertaut rapat dengan khalik mereka memiliki jiwa yang kuat bagai gunung yang akarnya terpasuk pada bumi puncaknya memiliki aura yang cahayanya sampai ke langit lantaran zikrullah yang sentiasa hidup pada lidah mahupun secara sirrnya.

6. Manusia akan menjadi kuat jika jiwanya sering bertaut rapat dengan Tuhan. Dengan kata lain apabila seseorang itu sering berhubung dengan Allah dalam ibadat dan zikrullah akan menjadi tenanglah jiwanya. Ketenangan ini amat perlu untuk mengawal emosi, akal dan jasad. Kekuatan jasad amat terhad dan ianya mengikut kata hati. Kekuatan daya intelek (IQ) juga terbatas, ianya pula boleh dirancang, bijak dalam segala tindakan dan keputusan. Tetapi hakikat sebenar kehidupan menunjukkan terdapat banyak perkara luar batasan dan dugaan akal yang berlaku (mencarik adat). Akal akan menjadi lemah bila perancangannya gagal, kecewa bila menghadapi musibah, kematian, kesakitan, kehilangan dan sebagainya. Emosi juga tidak kuat jika tidak bertaut dengan ketuhanan.

7. Firman Allah s.w.t

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
"Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat marikh (lehernya sendiri) (Al-Qaf: 16)

Kaum sufi memulakan pembinaan jiwanya dengan kekuatan ruh bukan akal atau emosi. Dia mengingati Allah hingga perasaan dan emosinya merasai cinta yang mendalam. Berdasarkan sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w yang menyampaikan dakwah tauhid ke dalam masyarakat Arab ketika itu menerusi kaedah ibadat zikir sahaja selama 13 tahun. Zikir yang sungguh-sungguh akan menyebabkan seseorang itu merasa zauk dan wajidan iaitu asyik dengan Allah. Mereka menjadi fana' dan merasai kehampiran dengan tuhan, hingga hati merasa gementar bila disebut nama Allah menitis airmatanya bila mengingatinya. Seperti firman Allah: إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ - "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal. (Al-Anfal: 2)

8. Seseorang yang bertaut dengan zikrullah dapat menjalani kehidupan dengan tenang dan dengan senyuman keindahan tanpa stress, khusyuk dan tawaduk. Juga redha dalam menghadapi apa jua musibah dan dugaan. Hati mereka lebih tenang dari lautan lebih sejuk dari air di gunung malah ketenangan yang dimiliki akan dapat dirasai dan dikongsi dengan sesiapa sahaja yang mendampinginya. Inilah yang dikatakan tenaga dan aura yang positif dalam diri seseorang itu.

9. Aqidah adalah tali yang berpilin atau simpulan. Manusia juga diberi kebebasan mengikut sepanjang mana tali simpulan yang ada padanya. Semakin kuat simpulan jiwanya dengan Tuhan semakin terbatas pergerakan nafsu amarahnya. Begitu juga cahaya hatinya semakin terang cahaya ketuhanan semakin hancur segala kotoran mazmumah dan semakin nipis dinding hijab pendekatan dengan Allah. Hati yang terikat dengan Allah bagaikan kapal yang utuh dengan sauhnya.

10. Ulamak Tasawuf telah menyusun pelbagai cara dan kaedah zikir untuk memberi pelbagai cara dan kaedah zikir untuk memberi kesan pada jiwa pengamalnya. Pendapat jumhur ulamak Tasawuf, seseorang yang ingin mencapai ketenangan hati hendaklah ia mengambil talkin zikir dari seseorang yang telah memiliki maqam jiwa yang tenang.

11. Hati yang hidup dengan zikrullah, takwa, tawakal, yakin, redha, ikhlas dan memiliki salsilah atau sanad zikirnya sampai kepada Rasulullah s.a.w. Ini adalah pegangan seluruh kaum sufi. Dengan menerima zikir yang diajar dan ditalqin oleh guru akan memberi tenaga yang positif dan mempercepatkan kesan pada diri dan hati. Salsilah ini ibarat talian elektrik itu sendiri, jika terputus bekalan elektrik pada satu tiang maka terputuslah bekalan elektrik di rumah.

12. Hati memerlukan cahaya yang hanya boleh didapati dengan cara mengilap hatinya dengan zikir. Hati pada dasarnya memiliki cahaya yang gemilang namun ia tertutup lantaran sifat-sifat mazmumah zahir dan batin. Malah ia boleh menjadi buta dan tertutup dari alam-alam rahsia yang maujud. Dengan kata lain manusia itu hanya melihat pada zahir perbuatan Allah tetapi tidak dapat melihat ke dalam lautan hakikat dan makrifat.

13. Bila hati itu digilap dengan zikrullah dengan istiqamah kotoran jiwa akan terluntur maka terpancarlah Nur sedikit demi sedikit yang bermula dari alam malakut, jabarut, lahut itulah cahaya Ruhul Kudus yang makrifat pada Allah. Cahaya suci inilah akan memusnahkan unsur negatif yang menular dalam batin manusia. Kebanyakan manusia hari ini hanya menggunakan cahaya dunia pada hatinya dan bukan cahaya hati yang bersifat nurani sedangkan cahaya dunia itu adalah serendah-rendah cahaya jika mereka mengetahui.

14. Perinsip berzikir banyak disusun para ulamak tasawuf. Syarat utama bagi yang ingin menerima zikir hendaklah terlebih dahulu berwuduk dan sempurna fardu ainnya. Ada juga guru yang mengajar pada murid yang fasik dengan mengamalkan zikir atau kalimah tauhid Laa illaha illallhu dengan jumlah tertentu.

15. Guru ibarat menanam benih dalam qalbi muridnya dan murid pula perlu menjaga benih tersebut dengan menyiram, membaja dan memeliharanya dari kerosakan agar cahaya itu subur hingga jadi pohon yang kuat dan menghasilkan buahnya.

16. Para sufi adalah pakar membina jiwa manusia bermula dari hati dengan penyucian kotoran melalui zikrullah dengan perinsip yang betul ibarat menyuci kotoran pada baju yang putih. Dengan cara ini akan menghasilkan tenaga yang hebat yang dipanggil Aura positif pada jiwa.

17. Para sufi berzikir dengan perinsip tertentu pada anggota tubuhnya yang dibuat berulang kali sehingga terasa kesan pada qalbinya seperti aura panas atau pedih. Ini selari dengan hukum fizik yang menyatakan bahawa melakukan gerakan atau geseran pada tempat yang sama berulang alik akan menghasilkan tenaga elektrik. Bagi sufi tenaga ini diqasadkan untuk menghancurkan sifat amarah yang menjadi syaitan di dalam jiwa manusia. Bila terlucut nafsu amarah ini manusia bagaikan dilahirkan kembali. Mereka akan merasa kehidupan yang berlainan walaupun jasadnya masih sama namun rohani sudah berbeza.

18. Kebahagiaan itu di dalam diri yang maujud ia bagaikan mutiara di dalam lautan. Hati manusia bagai lautan, semakin dalam ia menyelam semakin indah dan terpegun memandang keindahannya. Di dalam dasarnya ada mutiara yang amat mahal dan menawan. Tanpa menyelam kedasar hakikatnya tiadalah ia merasai masin tawar air itu. Di sebalik masin air ada kemanisan yang sukar diertikan. Itulah RahsiaNya seperti firman Allah: يَخْرُجُ مِنْهُمَا اللُّؤْلُؤُ وَالْمَرْجَانُ فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ - "Dari keduanya keluar mutiara dan marjan, maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" (Ar Rahman: 22:23)

19. Kaum sufi amat mementingkan latihan pernafasan. Bila elok pernafasan maka eloklah perjalanan roh dengan tuhannya. Emosi amat mempengaruhi pernafasan sama ada dalam keadaan amarah "stress" atau tenang. Jika seseorang itu berjaya mengawal pernafsan maka ia berjaya mengawal emosinya.

20. Nafas adalah sumber kehidupan. Nafas adalah al-hayat yang datang dari zat Allah. Ia adalah rahsia illahi. Ulamak sufi mengamalkan zikir nafas untuk membersihkan rohani. Ahli tenaga dalaman mengamalkan pernafasan untuk mengaktifkan tenaga ghaib atau dipanggil batin sehingga dapat melakukan perkara di luar kekuatan jasad.

21. Latihan pernafasan yang betul berserta dengan tafakur terbukti dapat membentuk peribadi seseorang. Di luar negara juga ramai yang dapat membentuk diri menjadi baik dengan teknik pernafasan dan tafakur. Ia tidak mengira golongan dan agama. Banyak kes berkaitan psikologi dan stress telah berjaya dirawat dengan tenaga zikir dan nafas juga tafakur sufi. Ia mampu merawat penyakit berkaitan gangguan makhluk halus sihir dan jin. Kajian pakar mendapati 70% dari penyakit adalah berpunca dari ketidakstabilan emosi atau masalah psikologi. Lantaran itu rawatan yang paling baik ialah membina motivasi seseorang itu kepada kekuatan dalaman iaitu pendekatan dengan Rabbnya.

22. Level pertama ia perlu diajar mengenali Tuhannya dan hakikat kehidupan. Level kedua ia diberi rawatan dengan teknik zikrullah dan tafakur. Dengan eleman ini yang diamal dengan sungguh-sungguh maka jiwa akan pulih dan mempunyai kekuatan untuk menghadapi ujian kehiduapan.

23. Firman Allah s.w.t فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ - "Maka ingatlah kepada Ku nescaya Aku ingat kepadamu (bersama dan melidungi hambaNya" -(Al-Baqarah:152)

Allah memberi jaminan kepada hambaNya yang kukuh iman dan jiwa akan mendapat perlindunganNya dari gangguan Syaitan.

Rawatan Diri dengan Aura dan Zikir

1. 70% punca penyakit disebabkan masalah psikologi. Oleh sebab itu para doktor atau perawat tradisional akan memulihkan kekuatan jiwa pesakit dengan pelbagai kaedah. Menerus kaedah psikologi bagi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan diri pesakit. Dengan pemulihan kekuatan jiwa pesakit, rawatan akan cepat memberi kesan untuk proses penyembuhan. Sebenarnya 70% proses penyembuhan itu datang dari pesakit sendiri dan hanya 30% rawatan dari perawat atau ubat-ubatan.

2. Kelemahan jiwa atau mental akan menyebabkan pesakit mudah kecewa atau tiada semangat juang. Dengan sebab itu ia tiada kekuatan melawan penyakitnya sendiri. Malah amat merbahaya jika dia mengatakan "penyakit yang ada padanya tidak boleh sembuh!" Dia menjadi lemah dengan pendapatnya sendiri dan rawatan akan menjadi lambat untuk sembuh.

3. Gangguan makhluk halus amat mudah menyerang mereka yang lemah jiwanya. Dengan kata lain orang yang lemah jiwanya memiliki tenaga yang rendah dan menyamai frekuensi (gelombang) jin dan syaitan. Bila frekuensinya sama maka mudah lah mendapat gangguan makhluk halus ini. Lantas membisikkan kejahatan dan menggangu emosi serta mental hingga menjadi histeria dan kerasukan seperti firman Allah: قُلۡ أَعُوذُ بِرَبِّ ٱلنَّاسِ (١) مَلِكِ ٱلنَّاسِ (٢) إِلَـٰهِ ٱلنَّاسِ (٣) مِن شَرِّ ٱلۡوَسۡوَاسِ ٱلۡخَنَّاسِ (٤) ٱلَّذِى يُوَسۡوِسُ فِى صُدُورِ ٱلنَّاسِ (٥) مِنَ ٱلۡجِنَّةِ وَٱلنَّاسِ (٦) "Katakan: Aku berlindung kepada Tuhan Manusia yang menguasai manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh manusia dari kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa bersembunyi dan membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia dari jin dan manusia" (An-Nas 1-6 )

4. Kajian seorang ahli psikologi menunjukkan bahawa menyebut kalimah "Allah" di dalam hati dapat menyembuhkan penyakit stress. Ini kerana pada setiap huruf kalimah itu mengandungi getaran tenaga di mana frekuensinya mampu melegakan sistem pernafasan dan menstabilkan nadi.

5. Untuk menghancurkan tenaga yang frekuensi lemah atau gelombang getaran jin dan syaitan, perawat biasanya memasukkan doa dan zikir tertentu pada pesakit yang disalur secara langsung atau dipindahkan melalui air yang diberi minum pada pesakit.

6. Perawat biasanya akan membantu dengan menolong mempercepatkan pembinaan tenaga zikir dan doa di dalam badan pesakit. Doa dan ayat-ayat Al-Quran akan menguatkan tauhid, kepercayaan, keyakinan kepada Allah dan kebenaran yang hak lantas menguatkan jiwa pesakit yang mempercepatkan proses penyembuhan kepada pesakit.Wallahuallam  



Sumber aura nursyifa

Saturday, March 9, 2013

Hikmah Berzikir


Hafiz Ibnu Qaiyim r.a adalah seorang ulama' hadis yang termasyhur. Beliau mengarang sebuah risalah bernama Al-Wabil yang mengandungi berbagai-bagai penjelasan mengenai kelebihan berzikir.

Di dalam risalah itu, beliau berkata bahawa zikir mempunyai faedah kira-kira lebih daripada seratus faedah. Tujuh puluh sembilan faedah beliau menukilkan di dalam risalah tersebut.

faedah-faedah zikir itu satu persatunya serba ringkas.
1. Zikir adalah menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir adalah menyebabkan Allah S.W.T redha.

3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.

4. Zikir adalah menggembirakan hati.

5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan sanubari.

6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.

7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan mencurah-curah (yakni murah rezeki).

8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya, seseorang itu merasa gentar.

9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah S.W.T kerana cinta itulah merupakan roh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagiaan. Barangsiapa ingin mendapat cinta Ilahi itu, maka hendaklah ia berzikir sebanyak-banyaknya.

Sebagaimana mutala'ah dan muzakarah itu merupakan pintu kejayaan ilmu, demikianlah zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

10. Zikir adalah mendatangkan hakikat muraqabah. Muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat insan.

Dengan adanya martabat insan, maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan seolah-olah ia melihat-Nya (keadaan seperti inilah merupakan tujuan asasi daripada perjuangan para sufi).

11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini, lama-kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah S.W.T menjadi pelindung dan pembantu baginya.

12. Zikir adalah membawa seseorang kepada takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak, maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan sebaliknya jika ia bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh dari Allah S.W.T.

13. Zikir adalah membukakan pintu makrifat kepada Allah S.W.T.

14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan keagungan dan kebesaran Allah S.W.T dan melahirkan semangat buat merapatkan diri dengan-Nya.

15. Zikir adalah menyebabkan Allah S.W.T ingat kepada seseorang yang ingat kepada-Nya sepertimana disebutkan di dalam Al-Quran yang bermaksud:
"Kerana itu ingatlah kamu kepada Aku, nescaya Aku ingat pula kepadamu."
(Al-Baqarah : 152) 
Dan diterangkan pula di dalam hadis yang bermaksud :

"Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingati
pula di dalam hati-Ku."

16. Zikir adalah menghidupkan hati. Perbandingan zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan dengan air. Ingatlah apakah halnya ikan itu jika ia tidak berada di dalam air?

17. Zikir adalah santapan bagi roh dan hati. Andaikata keduanya tidak dapat menikmati santapannya maka adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.

18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karatan (kekotoran) sepertimana diterangkan di dalam hadis bahawa tiap-tiap satu mempunyai daki dan kekotoran baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat. 
20.Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang terhadap Allah S.W.T. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh rasa ragu dan gelisah terhadap Allah. Ianya hanya dapat dihapuskan hanya dengan zikir. 

21. Zikir adalah menyebut Allah, orang yang berzikir itu dikelilingi oleh Arsy Ilahi.

22.Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah ingat pula kepadanya apabila ia di dalam kesusahan.

23.Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada azab Allah S.W.T.

24.Zikir adalah menyebabkan turunnya sakinah dan para malaikat melingkungi orang-orang yang berzikir itu.

25.Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang yang berzikir itu daripada mengumpat, mencela, berdusta, maki-hamun dan cakap sia-sia.

Telah dibuktikan oleh kenyataan bahawa barangsiapa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir, maka terselamat dari sifat keji.

Sebaliknya orang yang tidak biasa dengan zikir maka dengan sendirinya ia terlibat dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.

26.Zikir akan memasukkan orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang yang berbahagia, demikian juga bagi orang yang mendampinginya.

Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang sia-sia adalah tercampak ke dalam kancah kecelakaan. Demikian juga bagi mereka yang menyertainya.

27.Zikir akan memelihara orang yang berzikir dari menyesal pada hari kiamat.

28.Jika orang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri, maka pada hari kiamat ia akan didiamkan di bawah naungan Arasyh Ilahi. Pada hari kiamat di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang sangat dahsyat itu.

29.Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir, maka Allah S.W.T mengurniakan kepadanya lebih dari orang yang meminta kepada-Nya.

Di dalam hadis Qudsi, Allah S.W.T ada berfirman:
"Barangsiapa tertahan oleh zikir-Ku daripada berdoa, nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang Aku berikan kepada orang yang berdoa."

30.Zikir merupakan satu ibadat yang ringan dan mudah sekali, namun ia adalah amalan yang lebih afdal dan utama dari semua ibadat kerana menggerakkan lidah itu lebih mudah dari menggerakkan seluruh badan.

31. Zikir merupakan pohon di dalam syurga.

32.Nikmat dan kurniaan yang Allah berikan kepada orang yang berzikir, tidaklah diberikan kerana amalan yang lain.

Terdapat hadis yang menerangkan:
"Barangsiapa membaca kalimah ini sebanyak 100 kali pada tiap-tiap hari, maka Allah akan memberikan pahala kepadanya yang seimbang memerdekakan 10 orang hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya 100 kebajikan, dihapuskan daripadanya 100 dosa, dipelihara dari godaan syaitan dan tiada siapa pun yang lebih afdal daripadanya kecuali orang yang amalannya telah melebihi.

33.Seseorang yang berzikir berterusan dengan istiqamah, ia akan terselamat daripada melukakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat.

Melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Allah. Barangsiapa melupakan Allah, nescaya akan dicampakkan di dalam kancah kerugian.

Allah memperingatkan kita manusia di dalam Al-Quran:
"Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang melupakan dirinya sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik."
(Al-Hasyar: A:19 S:59 J:28 M/S:548)

Maksudnya supaya kamu janganlah menjadi orang-orang yang tidak menghiraukan Allah S.W.T, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni hati perasaan dan akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju ke arah kejayaan yang hakiki.

Apabila manusia melupakan diri sendiri, maka dengan sendirinya ia akan melupakan muslihat-muslihatnya, akhirnya ia menjadi mangsa kebinasaan.

Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah ladangnya, sudah tentulah sawah ladangnya tidak mendatangkan hasil apa-apa. Akhirnya akan bertukar menjadi belukar.

34.Seseorang akan merasakan keamanan dan ketenangan jiwa tatkala lidahnya basah menyebuti zikir sehingga ia cinta kepada zikir.

Sepertimana seseorang yang mencintai air ketika ia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika ia sangat lapar ataupun ia cinta kepada pakaian dan rumah semasa ia berasa sangat sejuk atau sangat panas.

Bahkan zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-galanya itu tidak tersedia, maka tubuh kasar manusia itu sahaja yang akan binasa, sebaliknya jika tiada zikir, roh dan hati juga akan turut binasa.

35.Dengan zikir, manusia akan mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus-menerus ketika ia sedang beristirehat ataupun ia sedang sakit, ketika ia sedang sibuk dengan mengecap nikmat hidup ataupun berada di dalam serba kekurangan.

Jika hatiperasaannya sudah bersinar dengan sinaran zikir, maka dalam setiap keadaan ia akan meningkat ke peringkat yang setinggi-tingginya.

36.Nur zikir sentiasa bersama dengan orang yang berzikir sama ada di dalam dunia ini ataupun di dalam kubur.

Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:
"Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadi ia agama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang.

Dengan cahaya itu, dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia (nur itu sentiasa bersama dengannya) serupa dengan orang yang berada di dalam keadaan gelap-gelita yang tidak dapat keluar daripadanya."
(Al-An’am: A:122 S:6 J:7)

Hati perasaan orang yang berzikir akan bersinar gilang-gemilang dengan cahaya makrifat. Nur adalah sesuatu yang teragung sekali. Ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang.

Lantaran itulah, Nabi Muhammad s.a.w sentiasa menuntut dan memohon dengan berulang-ulang kali dan meminta nur itu bagi setiap anggota tubuhnya sepertimana doa-doa yang didapati di dalam kitab-kitab hadis yang didoakan oleh baginda s.a.w seperti yang berikut di bawah ini:

"Ya Allah ! Berikanlah nur kepada dagingku, nur pada tulang-tulangku, nur pada rambutku, nur pada kulitku, nur pada pendengaranku, nur pada penglihatanku, nur dari atasku, nur dari bawahku, nur dari kananku, nur dari kiriku, nur dari mukaku, nur dari belakangku dan jadikanlah nur itu di dalam diriku dan juga besarkanlah nur itu untukku."

Maka menerusi nur itulah, amalan perbuatan seseorang itu akan bercahaya terang benderang sehingga amal perbuatan yang baik dari seseorang itu dibawa ke langit yang didapati daripadanya cahaya seperti cahaya matahari dan nur yang serupa itulah akan kelihatan pada mukanya di hari kiamat nanti.

37.Zikir adalah intisari ilmu tasawuf yang diamalkan oleh setiap ahli tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang, bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju ke jalan Allah.

Barangsiapa yang telah menuju ke jalan Allah, nescaya ia telah dapat segala-galanya yang dikehendaki kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Ilahi.

38.Pada hati manusia, ada satu bahagian yang tidak subur melainkan zikrullah. Apabila zikir menguasai hati maka bukan ia menyubur bagi hati itu sahaja bahkan ia menjadi orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada harta benda.

Memuliakannya walaupun tidak berkeluarga dan menjadikannya pengusaha walaupun ia tidak mempunyai kerajaan.

Sebaliknya orang yang lalai daripada berzikir pasti dia akan dihinakan walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

39.Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah berhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat.

Yakni hati perasaan manusia yang diselubungi oleh berbagai keraguan, dukacita dan kegelisahan itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa.

Hati perasaan dan jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan yang keji-keji itu dibersihkan. Manusia yang sentiasa digodai dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya.
Akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari manusia.

40.Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar, maka selama itulah ia mengalami kerugian demi kerugian.

41. Zikir adalah merupakan satu pohon yang setiap masa mendatangkan buah makrifat. Menurut istilah ulama’-ulama’ tasawuf, pohon itu mendatangkan buah ahwal dan makamat.

Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu kukuh. Semakin akarnya kukuh, semakin itulah pohon itu mengeluarkan buahnya.

42.Zikir adalah mendekatkan hamba kepada Allah. Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran:

"Sesungguhya Allah S.W.T beserta dengan orang-orang yang bertaqwa (takut)."

Di dalam hadis Qudsi Allah S.W.T berfirman:
"Adalah Aku menyertai hamba-Ku selama ia mengingati Daku."

Di dalam hadis Qudsi yang lain, Allah telah berfirman:
"Orang-orang yang mengingati Aku itu ialah orang Aku.

Aku tidak menjauhkan dari rahmat-Ku. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka, maka Aku menjadi kekasih bagi mereka, tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat, maka Aku menjadi jururawat bagi mereka.

Aku mencampakkan mereka ke dalam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka dari dosa-dosa."

Penyertaan Allah S.W.T yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak mungkin juga dibicarakan.

Kelazatannya dengan erti kata yang sebenar boleh dirasai oleh orang yang telah mencapainya.

43.Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, membelanjakan harta dan berjuang di jalan Allah.

44.Zikir adalah sumber syukur. Barangsiapa yang tidak mengingati Allah, ia tidak dapat bersyukur kepada-Nya.

Di dalam sebuah hadis menceritakan bahawa Nabi Musa a.s pernah berkata kepada Allah,
"Ya, Allah ! Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak, maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur supaya aku sentiasa dapat bersyukur kepada-Mu." 

Kemudian Allah S.W.T berfirman kepada Nabi Musa, "Sebanyak yang engkau berzikir, sebanyak itulah engkau bersyukur."

Allah berfirman:
"Hendaklah lidahmu sentiasa dibasahi dengan berzikir."

45.Yang mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang sentiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah taqwa ialah syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah S.W.T.

46.Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.

47.Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.

48.Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah. Lalai adalah sumber permusuhan dengan-Nya.

49.Tiada satu apa pun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah dan menyelamatkan daripada azab-Nya lebih daripada zikrullah.

50.Allah S.W.T menurunkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang berzikir dan para malaikat berdoa untuk mereka.

51. Barangsiapa yang ingin menikmati syurga sedangkan ia masih berada di dalam dunia ini maka hendaklah ia menyertai majlis-majlis zikir kerana zikir itu adalah umpama taman-taman syurga.

52.Majlis zikir adalah majlis para malaikat.

53.Allah S.W.T membanggakan orang yang berzikir di hadapan para malaikat.

54. Barangsiapa sentiasa berzikir, ia akan masuk ke dalam syurga tersenyum-senyum.

55.Segala amalan diwajibkan semata-mata kerana zikrullah.

56. Amalan yang paling afdal ialah amalan yang disertakan zikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang paling afdal ialah puasa yang disertakan zikir sebanyak-banyaknya. Haji yang paling afdal ialah haji yang disertakan dengan zikir sebanyak-banyaknya. Demikian juga jihad dan amalan yang lain-lain.

57. Zikir ialah pengganti bagi ibadat-ibadat nafilah (ibadat-ibadat sunat). Pada satu ketika, satu golongan orang yang miskin telah datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w merayu hal mereka kepada Rasulullah s.a.w:

“Ya, Rasulullah s.aw! Saudara kami yang berharta-benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa, tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan haji, umrah, jihad dan lain-lain."

Sebagai menjawab Rasulullah s.aw bersabda:
"Mahukah kamu sekelian aku ajarkan sesuatu untuk mendahului sesama kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afdal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat?"

Selanjutnya Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:
"Bacalah kamu sekelian selepas tiap-tiap sembahyang." (berzikir)
Ini menunjukkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w menganggap zikir ini sebagai pengganti haji, urnrah, jihad dan lain-lain (bagi orang yang tidak berada).

58. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya, maka ibadat yang lain itu menjadi lebih mudah dan senang malah kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar.

Oleh itu, semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.

59.Dengan berzikir, semua keberatan akan menjadi ringan. Setiap kesukaran akan menjadi ringan dan semua bala bencana akan lenyap.

60.Lantaran zikirlah, segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar. Zikrullah adalah mempunyai satu kuasa yang khas untuk melahirkan ketenteraman dan akan melenyapkan ketakutan.

Ianya mempunyai kesan yang istimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya, semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.

61.Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas kepada manusia. Dengan kekuatan itu, ia dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar.

62.Pemberesan urusan-urusan akhirat adalah dahulu-mendahului di antara satu sama lain. Di dalam mendahului antara satu sama lain ini, yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir.

Diriwayatkan dari Omar Khadam Gufarah r.a katanya:
"Apabila amal perbuatan manusia diganjari pada hari kiamat maka sebahagian besar dari manusia akan menyesal sambil berkata:

"Alangkah bagusnya jika dahulunya kita memperbanyakkan amalan yang ringan dan mudah sekali iaitu zikir."

Di dalam sebuah hadis ada dilaporkan bahawa Baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Telah mendahului mereka yang mufarrid."

Para sahabat bertanya:
"Siapakah yang mufarrid itu, ya Rasulullah?"

Baginda menjawab: "Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka."

63.Allah S.W.T sendiri membenarkan dan memuji orang-orang yang berzikir. Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah S.W.T tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang yang berdusta.

64. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka para malaikat berhenti daripada membina rumah itu.

Apabila mereka ditanya, "Mengapakah kamu berhenti membina rumah itu?"

Maka mereka menjawab, "Bahawa perbelanjaannya belum tiba lagi."

Di dalam sebuah hadis lagi ada disebutkan barangsiapa yang mengucapkan (berzikir) sebanyak 7 kali, nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam syurga.

65. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi Neraka Jahannam. Barangsiapa yang dimasukkan ke dalamnya kerana amal perbuatannya yang tidak baik, maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan Neraka Jahannam tersebut. Semakin banyak berzikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.

66. Para malaikat beristighfar (memohon keampunan) bagi orang yang berzikir. Diberitakan kepada Amar bin Aas r.a yang beliau meriwayatkan bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan (berzikir) maka para malaikat berkata, "Ya, Allah! Ampunilah dia." (Dan termaklum bahawa doa para malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkan).

67.Jika seseorang berzikir di atas gunung atau di tanah datar, maka tempat tersebut akan merasa bangga.

Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa gunung-gunung bertanya¬tanyakan di antara satu sama lain bahawa hari ini adakah seseorang yang berzikir itu melalui di atas engkau.

Jika diberitahukan, "Ya, ada yang melaluinya maka ia akan berasa gembira lagi bangga."

68.Memperbanyakkan zikir adalah merupakan sijil bagi kelepasan bagi kemunafikan.

Allah S.WT telah berfirman:
"Mereka tidak mengingati Allah melainkan sedikit."
(An-Nisa A:142 S:4 J:5 M/S:101)

Ka'ab Akhbar r.a berkata:
"Barangsiapa berzikir sebanyak-banyaknya terpelihara ia daripada kemunafikan."

69.Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai satu kelazatan yang tidak didapati pada amalan¬amalan yang lain.

Jika zikir tidak mempunyai satu fadilat pun selain daripada kelazatan tadi maka memadailah dia. 
Malik bin Dinar r.a berkata, "Bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan berzikir."

70.Pada wajah orang berzikir itu didapati kegembiraan di dunia ini dan akan kelihatan nur padanya di hari kiamat. 

71. Barangsiapa yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya di tengah-tengah jalan, di rumah, di dalam safar dan ketika berada di dalam kampung, maka ia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di hari hisab kelak.

Di dalam menerangkan keadaan hari kiamat, Allah S.W.T berfirman:
“Pada hari itu (yakni hari kiamat) bumi menceritakan berita-beritanya."

Baginda Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat:
"Tahukah kamu berita-berita bumi itu?"

Mereka menjawab:

"Tidak. Kami tidak tahu, ya Rasulullah s.a.w."

Baginda Rasulullah s.a.w bersabda:
"Pekerjaan-pekerjaan yang dibuat oleh lelaki dan wanita (sama ada pekerjaan yang baik ataupun yang buruk) di permukaan bumi ini, maka bumi akan menceritakan bahawa si fulan pernah melakukan sekian perbuatan di sekian tempat di permukaannya pada sekian masa.

Oleh itu, orang-orang yang berzikir sebanyak-banyaknya di tempat-tempat yang berlainan maka dia akan mempunyai saksi yang banyak di hari hisab nanti." 

72. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah ia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta, mengumpat dan sebagainya. Kerana lidah itu sememangnya tidak bisa diam, ia akan sibuk berzikir kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan.

Demikian juga halnya hati jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khalik, maka sudah tentu ia sibuk dengan mencintai makhluk.

73.Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. Ia juga mengerumuni mereka dari tiap penjuru.