Monday, August 13, 2012

Amalan Sunnah Rasulullah di Hari Raya Aidilfitri


Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI,MAAF ZAHIR & BATIN buat semua Guru-guru,sahabat-sahabat,teman-teman seperjuangan serta para pengunjung yang mengunjungi hikmah sejati jazakallah di atas sokongan serta silaturahim.


Hari Raya Aidilfitri merupakan kemenangan bagi umat Islam yang melepasi godaan nafsu dengan berpuasa dan menahan diri dari lapar dan dahaga sebagaimana Rasulullah bersabda 
"Kami pulang daripada jihad yang kecil kepada jihad yang lebih besar,sesungguhnya jihad melawan nafsu itu lebih besar"

Sempena dengan hari kemenangan ini sepatutnya umat Islam mengisinya dengan aktiviti yang terus mengekalkan dirinya dalam keadaan fitrah yang suci setelah dosanya diampunkan Allah sebagai mana Rasulullah bersabda :

Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas, diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu.(hadith riwayat al-Bukhari )
 Salah satu daripada cara yang boleh dilakukan ialah dengan kembali menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di hari raya yang bahagia..diantaranya ..



1. Mandi Sunat Hari Raya Sebelum Mengerjakan Solat Hari Raya.
 Mandi yang disunnahkan oleh Rasulullah s.a.w adalah pada hari Jumaat , Hari Arafah , Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.

2.Memakai Pakaian Baru .
 Memakai baju baru itu mestilah dengan penuh penghayatan bukan sekadar ingin menunjuk-nunjuk baju baru,cantik dan sedondon.Memakai baju baru juga perlu dilakukan penuh kesedaran betapa banyaknya nikmat yang Allah kurniakan kepada kita di hari mulia itu.

3.Makan Dahulu Sebelum Pergi Solat Hari Raya
daripada Anas r.a berkata :
" Biasanya Rasulullah s.a.w sebelum pergi solat Aidilfitri , terlebih dahulu baginda makan beberapa biji kurma " ( hadith Riwayat al- Bukhari , bab al'-Aid)

4. Memperbanyakkan Takbir
firman Allah S.W.T
"Dan menyebut dengan lidah dan hatinya nama Tuhannya serta mengerjakan solat " (surah al-'Ala:15)

5. Memberi Sedekah Kepada yang Memerlukan
Diceritakan daripada Anas,
Rasulullah s.a.w melakukan solat Aidilfitri dua rakaat,Beliau tidak solat sebelum atau selepasnya kemudian baginda pergi ke tempat perempuan bersama bilal.Baginda menyuruh mereka bersedekah.Maka mereka bersedekah.Ada yang menyedekahkan anting-anting dan ada pula yang menyedekahkan kalungnya (Hadith Riwayat al - Bukhari , bab al - 'Aid)

6.Menghidupkan amalan ziarah menziarahi.
Amalan ini wajar diteruskan supaya saling kenal mengenali  diantara sanak saudara dan rakan taulan.Kalau amalan ini tidak dihidupkan kemungkinan besar sanak saudara tidak mengenali satu sama lain.lebih2 lagi pertalian darah yang jauh dan sering tidak berjumpa.

7.Masa Untuk Bermaafan
Jangan ada rasa malu dan ego untuk meminta maaf dan hanya mengharapkan orang lain sahaja yang meminta maaf dengan kita

Begitu juga janganlah keras hati atau sombong untuk memberikan kemaafan kepada mereka yang memohon.Setiap orang pasti ada melakukan kesilapan dalam hidup termasuk diri kita sendiri.

8. Mengucapkan Selamat dan Mendoakan kebaikan Antara Satu Sama Lain.
Terutama  lafaz2 yang mengandungi pengertian semoga amalan puasa diterima Allah sebagaimana dilakukan pada zaman Rasullulah s.a.w

"Semoga Allah menerma ( amalan- amalan dan ibadat di bulan Ramadhan ) kami dan kamu"
Semoga Syawal kali ini akan lebih bermakna kepada kehidupan kita dan menimbulkan keinsafan yang berterusan untuk sentiasa berada di lindungan rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T

Tuesday, August 7, 2012

Mencari Lailatulqadar



Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.
Maksudnya:

    " Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu bulan "

     
Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.:
Maksudnya:

    " Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta
    mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada
    dosa-dosa yang telah lalu "

    
Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:
Maksudnya:

    " Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh
    akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain. "
    

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Maksudnya:

    " Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan
    dalam malam ganjil. "
    

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya." Daripada Riwayat Mu'awiyah:
Maksudnya:

    " Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27. "

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi:
Maksudnya:
    " Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa:



 Maksudnya:
    " Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah
    keampunan-Mu untukku. "

LAILATUL qadar merupakan salah satu dari malam-malam Ramadan, di mana keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah s.w.t: Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada malam lailatul qadar.
Tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? Malam al-Qadar adalah lebih baik dari seribu bulan. (al-Qadr: 1-3)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam tersebut dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami dari ayat tersebut ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi 1,000 bulan.

Kebesaran lailatul qadar adalah berdasarkan dua perkara. Pertamanya, kerana pada malam tersebut diturunkan al-Quran dan keduanya pada malam tersebut akan turun para malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang-orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai lailatul qadar kerana pada malam tersebut akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama lailatul syaraf bermaksud malam kemuliaan dan lailatul tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya lailatul qadar seringkali berlaku perselisihan pendapat di kalangan para ulama. Tetapi pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam-malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.
Ini sesuai dengan sebuah hadis Rasulullah dari Ibnu Umar yang bermaksud:

“Sesiapa yang ingin mencari lailatul qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh”.
Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim adalah bermaksud:
Carilah dengan segala upaya kamu malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam akhir bulan Ramadan.
Jelas dari kedua hadis tersebut bahawa lailatul qadar itu hanya berlaku pada satu malam saja dari bulan Ramadan. Ia adalah sebagai suatu perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipat gandakan amal ibadat pada malam-malam akhir Ramadan al mubarak ini.

Jelas bahawa penyembunyian tarikh lailatul qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam tersebut.
Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti :
•             Allah menyembunyikan lailatul qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang bulan Ramadan.
•             Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada hari Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari tersebut.
•             Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu.
•             Allah menyembunyikan isim adzam di antara nama-nama-Nya agar kita menyebut kesemua nama-nama-Nya (Asmaul Husna)
•             Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa jua bentuk maksiat.
•             Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali di antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin.
•             Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia.
•             Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya.
Walau bagaimana pun berkaitan dengan lailatul qadar, para ulama bersepakat mengatakan bahawa terdapat beberapa tanda apabila berlakunya malam tersebut, di antaranya ialah :
•             Orang yang berkesempatan melihat malam al Qadar akan dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan di langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah.
•             Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walau pun berada dalam kegelapan.
•             Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan dapat mendengar salam para malaikat dan tutur kata mereka.
•             Orang yang berkesempatan menemui malam al Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa di antara tanda malam al Qadar telah berlaku ialah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk yang putih bersih bagai bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas, di mana tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahaya.
Bagaimanapun pahala ibadat pada malam al Qadar akan tetap mendapat ganjaran dari Allah s.w.t biarpun tanda-tandanya tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Sesiapa yang ikhlas melakukan ibadat puasa dan amal ibadat lain sepanjang bulan Ramadan, Insya-Allah akan menemui malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu.


Lailatul Qadar Mengikut Panduan Imam Al-Ghazali


Kaedah mencari malam Lailatul Qadar mengikut panduan Iman Al-Ghazali;

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Ahad atau Rabu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-29.

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Isnin,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-21

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Selasa atau Jumaat,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-27

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Khamis,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-25

*Jika awal Ramadhannya jatuh pada hari Sabtu,
malam Lailatul Qadar nya pada malam yang ke-23



wallahuallam