Friday, July 27, 2012

Hikmah berpuasa



Ramadhan merupakan suatu hadiah, anugerah kepada dunia kesihatan kerana ia mampu meningkatkan taraf kesihatan masyarakat.

Umat manusia sebelum ini telah pun mengamalkan puasa dalam kehidupan mereka. Sebagai contoh penganut agama Hindu berpuasa dan puasa mereka dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai upavaasa.

Golongan Yahudi berpuasa pada hari Yom Kippur. Mengikut kitab Perjanjian Lama dalam bab Exodus 34:28, Nabi Musa bermunajat kepada Tuhan selama 40 hari dalam keadaan tidak menjamah roti dan air.

Melalui kajian sains didapati berpuasa, akan menurunkan kadar glukos darah, tekanan darah, khasnya tekanan darah sistolik dan juga lipid darah. Puasa turut mampu menurunkan berat badan.

puasa juga telah memberi peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan untuk memperbetulkan semula sistem penghadaman.

Punca berlakunya pelbagai penyakit adalah disebabkan oleh pengambilan makanan yang tidak terkawal atau lebih daripada kadar keperluan badan. Ini menyebabkan sistem yang bertindak mengawal badan terpaksa bekerja lebih kuat bagi mengimbangi keseluruhan pergerakan badan.

Seterusnya penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, pertambahan lemak dan peningkatan gula dalam darah amat mudah menyerang dan melemahkan kekuatan badan individu tersebut.

Sesungguhnya tiada ubat yang khusus bagi memulihkannya melainkan dengan berpuasa, kerana dengannya wujudlah satu sistem yang baru dalam badan yang bertindak mematikan sel-sel lama untuk digantikan dengan sel-sel baru yang lebih baik dan bertenaga.

Amalan puasa yang disyariatkan oleh Allah s.w.t. terutamanya puasa Ramadhan dapat menurunkan berat badan sehingga mencapai ke satu paras yang dikehendaki.

Jika ia diteruskan dengan perlaksanaan puasa sunat seperti berpuasa di bulan Rejab dan Sya'ban seterusnya Isnin dan Khamis nescaya akan terpeliharalah tahap kesihatan seseorang bagi tempoh setahun.

Daripada sudut kesuburan seorang wanita, puasa juga merupakan satu cara yang dapat mengurangkan kesan hormon broloktin yang menyebabkan kemandulan.

Kesimpulannya puasa dapat merehatkan sistem tubuh dan dapat mengelakkan pelbagai penyakit seperti kencing manis dan obesiti.

Selain itu dari sudut fizikalnya, puasa juga dapat merehatkan tubuh badan. Secara tidak langsung, amalan-amalan buruk juga dapat dihakis sedikit demi sedikit contohnya membantu membasmi ketagihan merokok, dadah dan minuman keras yang boleh membawa kerosakan organ di dalam badan.

Puasa juga memberi peluang kepada organ-organ dalam badan mengemaskinikan sistem pemprosesan supaya berfungsi semula dengan berkesan dan efisyen. Merehatkan sistem penyahtinjaan daripada berfungsi berterusan.

Rasa lapar dapat membangkitkan semula selera makan selepas berpuasa serta mendatangkan kecergasan badan dan kecerdasan minda.

Maka secara keseluruhannya, puasa dapat mengawal dan mendidik tubuh badan untuk mengambil makanan yang diperlukan sahaja, seterusnya melambatkan proses penuaan, membantu proses perkumuhan, menyingkirkan racun di dalam badan dan menambahkan rasa nikmat makanan setelah berjaya menahan diri daripada makan.

Dari hasil penelitian pula diketahui, puasa boleh meningkatkan kolesterol ‘baik’ (HDL) dan menurunkan lemak trigliserol. Lemak trigliserol merupakan bahan pembentuk kolesterol ‘jahat’ (LDL).

Bahkan, puasa juga mampu mengurangkan radikal bebas oksigen yang ada di dalam badan. Radikal bebas oksigen yang berlebihan di dalam tubuh akan mengurangkan aktiviti kerja enzim, menyebabkan terjadinya mutasi (perubahan gen) dan kerosakan dinding sel.

Selain itu, bagi yang sihat, puasa akan mengurangkan risiko terkena penyakit diabetes tipe-2. Sebab, ketika berpuasa, dengan sendirinya kandungan kalori secara fisiologi akan berkurangan.

Hal ini akan mengurangkan pengeluaran hormon insulin dan kadar gula dalam darah. Seterusnya ia akan meningkatkan sensitiviti hormon insulin dalam menormalkan kadar gula dalam darah. Keseimbangan gula darah yang baik akan mencegah penyakit diabetes.

Manfaat lain berpuasa ialah ia mendorong terjadinya rejuvinasi (pergantian) sel-sel tubuh, membantu menurunkan tekanan darah bagi yang menderita tekanan darah tinggi. Berat badan juga akan menurun, penyakit kulit khususnya kulat dan ruam akan lebih cepat pulih.

Dengan berpuasa ia dapat meningkatkan kepekatan sperma, menambah spermatozoa hidup dan meningkatkan kesuburan bagi wanita.


Bagi masyarakat Islam yang inginkan kesihatan tubuh badan yang lebih stabil, puasa secara teratur akan memperbaiki sistem daya tahan badan. 


KESAN PENGAMBILAN BUAH KURMA SEMASA BERPUASA
Kurma adalah sejenis tumbuhan (palma) atau lebih dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai ‘phonex dactylifera’ yang berbuah.

Buah kurma boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah. Kebanyakkan pokok kurma tumbuh di negara-negara Timur Tengah yang terdiri daripada pelbagai jenis. Antara buah kurma yang terkenal ialah kurma ‘Rotab’ dari Iran, kurma di Mekah dan Madinah.

Kurma mempunyai khasiat yang tersendiri. Ia menjadi makanan Rasulullah s.a.w.. Baginda sering menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari yang bermaksud:

“Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda:

“ Sesiapa yang makan 7 biji tamar ‘Ajwad’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.”

Terdapat juga di dalam al-Quran yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ketika mana Maryam sedang mengandungkan Nabi Isa a.s..
Maksudnya:

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.” (Surah Maryam: 25)

Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, apabila Allah s.a.w. memerintahkan Maryam memakannya sedang dalam keadaan lemah selepas bersalin.

Terdapat penemuan-penemuan yang dilakukan oleh pakar sains perubatan tentang khasiat buah kurma. Ia mengandungi karbohidrat tinggi dan membekalkan tenaga kepada manusia.

Kurma yang ada di pasaran antaranya kurma nabi, kurma madu, kurma merah dan kurma ajwa. Selain kaya zat besi, kurma kaya kallium yang berfungsi menstabilkan tekanan darah dan mencegah risiko lumpuh separuh badan.

Pengambilan kurma boleh mengurangkan panas badan dan boleh meningkaykan daya pemikiran kanak-kanak.

Kurma juga kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan C.

ANTARA KHASIAT BUAH KURMA
1. KANDUNGAN KALIUM
.Kurma boleh menurunkan risiko serangan stroke kerana kandungan kalium yang tinggi. Nilai kalori ayng tinggi memudahkan ia dicerna oleh tubuh. Kalium amat penting bagi fungsi tubuh terutama jantung dan pembuluh darah. Fungsi mineral ini membolehkan denyutan jantung yang teratur, mengaktifkan kontraksi otot dan kestabilan tekanan darah.

2. KOMPOSISI GIZI
.Buah kurma tidak mengandungi lemak, namun kandungan karbohidrat dapat membekalkan energi (tenaga) yang yang tinggi. Kandungannya berkisar sekitar 60 peratus pada kurma yang lembek (yang diambil ketika lembek dan mentah) dan 70 peratus pada kurma kering (yang mengering dipohon).

Varietas kurma mengandungi gula glukosa (sejenis gula dalam darah) atau fruktosa (sejenis gula yang terdapat dalam buah-buahan). Kandungan gula tersebut mudah dicerna dan mudah dibakar oleh tubuh. Oleh itu, orang yang makan banyak buah kurma akan menjadi segar dan tahan lapar kerana penyerapan gula dalam badan berada pada tempoh
yang lama.

3. KANDUNGAN VITAMIN
.Buah kurma juga mengandungi vitamin yang penting seperti vitamin A, vitamin B, riboflavin serta niasin. Riboflavin dan niasin akan membantu melepaskan tenaga dari makanan dan tiamin membantu melepaskan tenaga dari karbohidrat. Vitamin A dan niasin membantu memelihara kulit yang sihat.

4. KANDUNGAN MINERAL
.Kurma juga mengandungi banyak mineral seperti magnesium, potassium dan kalsium. Mineral-mineral ini sangat diperlukan oleh tubuh badan. Serat dalam buah kurma berfungsi mengaktifkan usus yang memudahkan membuang air besar. Dalam kurma juga terdapat suatu hormon (potuchsin) yang membolehkan pencegahan pendarahan dalam rahim.

Berbagai sumber

Monday, July 23, 2012

Solat Terawih: Sejarah – Hukum – Kaifiat



Segala puji bagi Allah yang menjadikan kita dikalangan orang-orang yang beriman. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya.
Alhamdulillah, bulan Ramadhan kembali menemui kita. Banyak ilmu yang perlu kita ulangkaji berkenaan amalan-amalan di dalam bulan Ramadhan, agar kita dapat memperoleh manfaat dan ganjaran yang sepenuhnya pada bulan yang mulia ini.
Risalah ringkas ini akan membincangkan tentang “Solat Terawih” dan perkara yang berhubung kait dengannya.
Berkenaan keutamaan solat ini, Abu Hurairah r.a. menerangkan bahawa Rasulullah saw menganjurkannya pada malam Ramadhan dengan anjuran yang bukan berupa perintah yang tegas. Baginda bersabda:
((مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ)) [متفق عليه]
Maksudnya: “Sesiapa yang berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas.” [Sahih Muslim, no: 759]

Takrif Solat Terawih:
Menurut bahasa (lughah): Terawih bermaksud berehat, bersenang-senang, melapangkan nafas dan seumpamanya.
Menurut istilah: Terawih ialah ibadat solat yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan. Bermula waktunya selepas solat isya’ dan berakhir dengan masuk waktu subuh, tidak termasuk sunat ratibah isya’ dan solat witir.
Dinamakan terawih kerana orang yang melakukannya akan berehat selepas empat rakaat (dua salam).
Solat terawih termasuk solat tahajjud atau solatul-lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Waktu Melakukan Solat Terawih.
Sebagaimana hadis Rasulullah saw di atas: “Sesiapa berdiri (beribadat) pada malam Ramadhan…”. Berdasarkan hadis ini, tempoh menunaikan solat terawih ialah sesudah masuk waktu solat isyak sehingga sebelum masuk waktu solat subuh. Ini bererti sesiapa yang tidak dapat melakukannya pada awal malam boleh melakukannya pada pertengahan atau akhir malam.

Hukum Solat Terawih
Solat terawih hukumnya sunat mu’akad, iaitu amalan sunat yang amat dituntut. Rasulullah saw telah menganjurkannya dengan arahan yang tidak tegas, bererti hukumnya adalah sunat dan tidak wajib.

Sejarah Terawih:
Ummul Mukminin Aishah ra, meriwayatkan bahawa Rasulullah  saw melakukan solat terawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. [HR Bukhari dan Muslim].
Pada malam kelima dan seterusnya hingga ke akhir bulan Ramadan, Baginda melakukan ibadat ini di rumah. Ini kerana Baginda saw bimbang para sahabat tersalah anggap dan menjadikannya sebagai solat fardu dan sudah tentu sukar bagi mereka untuk melakukannya.
Abi Zar t meriwayatkan Nabi saw bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam 23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke 25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada Baginda saw: “Kalaulah tuan terus sempurnakan saki baki malam kami dengan solat sunat”. Maka Nabi saw bersabda:
((إِنَّهُ مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ، كُتِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ)) [الترمذي، صحيح]
Maksudnya: Sesiapa yang berdiri (bersolat terawih) bersama imam sehingga dia (imam) beredar (selesai), dituliskan baginya ganjaran orang yang Qiyamsemalaman (seumpama bersolat sepanjang malam).” [HR At-Tirmizi, sahih].
Imam Ahmad mengamalkan hadis ini dan beliau bersolat bersama imam sehingga selesai dan beliau tidak akan beredar sehinggalah imam beredar.
Berkata sebahagian ulama’: “Sesiapa yang bangun solat separuh malam bersama imam seumpama dia telah bangun solat sepenuh malam.”
Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir ra bahawa Nabi Muhammad saw melakukan solat terawih sebanyak lapan rakaat, setelah itu diikuti solat witir.
Khalifah Umar bin Al-Khatab ra  ialah orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat terawih secara berjamaah di bawah pimpinan Ubai bin Kaab ra.
Solat terawih dilakukan berjemaah pada setiap malam Ramadhan selepas solat isyak sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan tiga rakaat solat witir.

Cara Perlaksanaan Solat Terawih.
Solat Terawih boleh dilaksanakan secara berjamaah atau bersendirian. Berjamaah adalah lebih afdal merujuk kepada anjuran Rasulullah saw seperti hadis di atas.
Namun jika menghadapi kesempitan untuk melaksanakannya secara berjamaah, maka dibolehkan melaksanakannya secara bersendirian. Rasulullah saw sendiri pada zaman baginda adakala melaksanakannya secara berjamaah dan adakala secara bersendirian. Ini bagi memberi kelapangan bagi umat, seandainya mereka menghadapi kesempitan masa atau tenaga.
Menurut imam Al Ghazali rh walaupun solat terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar r.a. yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah.

Bilangan Rakaat Solat Terawih.
Solat terawih boleh dilaksanakan dalam jumlah lapan atau dua puluh rakaat, diiikuti dengan solat sunat witir. Kadangkala timbul persoalan berkenaan jumlah rakaat solat terawih yang sepatutnya dilaksanakan, lapan atau dua puluh rakaat?
Persoalan jumlah rakaat bagi solat terawih telah menjadi tumpuan para ilmuan Islam sejak dari dulu. Mereka telah mengkaji dalil-dalil yang ada serta membandingkan antara pelbagai pandangan yang wujud. Hasilnya membuahkan tiga pendapat. Pendapat pertama: Jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat kedua: Jumlahnya ialah 20 rakaat diikuti dengan 3 rakaat solat witir. Pendapat ketiga: Jumlahnya tidak ditentukan. Seseorang itu bebas melaksanakan solat terawih dengan jumlah rakaat yang dipilihnya, kemudian ditutupi dengan solat witir.
Ketiga-tiga pendapat di atas memiliki dalil dan hujah di sebaliknya dan kita boleh memilih mana-mana pendapat di atas. Yang penting, kita perlu menghormati orang lain seandainya mereka memilih pendapat yang berbeza dengan kita.
Ibnu Umar ra menceritakan: Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah saw tentang solat malam. Sabda Nabi saw:
صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى، فَإِذَا خَشِيَ أَحَدُكُمْ الصُّبْحَ صَلَّى رَكْعَةً وَاحِدَةً تُوتِرُ لَهُ مَا قَدْ صَلَّى.
Maksudnya: “Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir (ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat” [HR: Bukhari].
Rasulullah saw tidak menyebut bilangan rakaat solat malam, malam pula panjang masanya, boleh dilakukan banyak solat, ini menunjukkan bahawa bilangan tidak dihadkan sekadar kepada 8 atau 20 rakaat.
Berkata Imam Asy-Syafie: “Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat terawih di Madinah 39 rakaat, di Makkah 23 rakaat, ini bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan).”
Katanya lagi: “Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran), kurangkan rakaat adalah baik. Sekiranya mereka membanyakkan sujud (rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama adalah lebih aku sukai.”
Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan solat terawih sebanyak 20 rakaat tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar lapan rakaat. Terpulang kepada masing-masing untuk menunaikan ibadat ini mengikut kemampuan dan keikhlasan diri sendiri terhadap Penciptanya. Yang pentingnya ialah selesaikan solat bersama imam, tidak hanya setakat separuh jalan.

Antara Kualiti dan Kuantiti.
Persoalan yang lebih penting dalam solat terawih ialah cara melaksanakannya. 8 atau 20 rakaat, yang penting ialah membaca surah al-Fatihah dan bacaan-bacaan solat yang lain dengan sempurna, betul dan khusyuk. Jangan disingkatkan, jangan dibaca senafas dan jangan dibaca dengan tujuan mengejar jumlah rakaat.
Demikian juga dengan toma’ninah dalam solat, jadi yang penting ialah kualiti dan bukan kuantiti. Maka pastikan ia dilaksanakan secara baik (kualiti) dan tidak sekadar mengejar rakaat yang banyak (kuantiti).

Antara aspek kualiti yang sering ditinggalkan ialah:
1. Meninggalkan bacaan al-Qur’an secara tartil, iaitu sebutan kalimah-kalimah al-Qur’an secara jelas berdasarkan disiplin tajwid yang betul. Allah s.w.t. memerintah kita: “Dan bacalah al-Qur’an dengan tartil.” [Surah al-Muzammil:4]
2. Meninggalkan bacaan doa iftitah sebelum al-Fatihah dan bacaan surah-surah selepas al-Fatihah. Ini satu kerugian kerana bacaan-bacaan itu memberi ganjaran pahala yang amat besar.
3. Mengabaikan toma’ninah, iaitu kekal di dalam sesuatu posisi solat seperti rukuk, iktidal, sujud dan duduk di antara dua sujud. Tempoh kekal di dalam sesuatu posisi ialah sehingga bacaan dalam posisi itu dapat dilengkapkan dengan betul dan sempurna jumlahnya.
Pernah seorang lelaki bersolat tanpa toma’ninah pada zaman Rasulullah saw. Melihat cara solat lelaki itu, Rasulullah saw memerintahkan beliau untuk mengulanginya [Sahih al-Bukhari, no: 757]. Tindakan Baginda itu menunjukkan toma’ninah ialah syarat sah solat. Sesiapa yang meninggalkannya bererti solatnya, sama ada solat terawih atau selainnya, adalah tidak sempurna.
4. Tidak mengambil berat tentang melurus dan memenuhkan saf solat. Masing-masing sibuk mengejar rakaat, sedangkan Rasulullah saw telah memberi peringatan agar menjaga saf dengan sempurna dalam sabdanya:
لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُم .
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu atau Allah akan tukarkan wajah-wajah kamu (hati-hati kamu berpecah dan tidak bersatu).” [HR Bukhari].
Sabda Baginda saw lagi:
سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاةِ
Maksudnya: “Luruskan saf-saf solat kamu, kerana saf yang lurus itu di antara tanda kesempurnaan solat.” [HR Bukhari].
Berdasarkan perbincangan  di atas, sama-samalah kita jadikan solat terawih pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang dilaksanakan berdasarkan kualiti dan bukannya kuantiti.  
Semoga semua amalan baik kita diterima oleh Allah swt.

sumber Abu Anas Madani.

Sunday, July 22, 2012

Hikmah bersahur




Hadis Anas r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Hendaklah kamu bersahur karena di dalam bersahur itu ada keberkatannya. 

Hadis Zaid bin Thabit r.a katanya: Kami pernah bersahur bersama Rasulullah s.a.w. Setelah itu kami pun mendirikan sembahyang Subuh.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Bersahurlah kamu kerana sesungguhnya bersahur itu adalah berkat

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Hendaklah kamu Bersahur kamu kerana ia adalah makanan yang berkat

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Perbezaan antara puasa kita orang Islam dengan puasa ahli Kitab ialah kita makan sahur

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Memakan sahur itu boleh memberi kekuatan untuk berpuasa pada siang hari dan qailulah (tidur sekejap) pada siang hari (sebelum Zohor) boleh memberi kekuatan untuk qiamullail – hadis dari Ibnu Abbas

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur – hadis dari Ibnu Umar

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sentiasalah umatku itu dalam keadaan kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud : Sahur itu berkat, oleh itu janganlah kamu meninggalkannya walau pun dengan meminum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat ke atas mereka yang bersahur
 



Hikmah bersahur itu diantaranya

Dapat mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW.
Dapat menjauhi amalan puasa bangsa yahudi,  yang berpuasa tanpa sahur.
Membekalkan tenaga untuk beribadat kepada Allah SWT.
Meningkatkan keikhlasan untuk beribadat kepada Allah SWT.
Menghilangkan perasaan marah ketika beribadat.
Doa semasa bersahur amat mustajab di sisi Allah SWT.
Semasa bersahur kita akan mengingati Allah SWT kerana kita bangun bersahur sebagai permulaan melakukan  ibadat kepada Allah SWT.


Sumber Kitab Fadhail A’mal

Monday, July 16, 2012

Selamat Datang Ramadhan Al mubarak


Segala puji bagi Allah penguasa semesta alam,insyaallah dalam beberapa hari lagi seluruh umat islam di seluruh dunia akan menyambut bulan yang mulia ini,dengan kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut RAMADHAN AL MUBARAK buat guru-guru yang sentiasa membimbing insan jahil ini,ahli keluarga,sahabat-sahabat,teman-teman seperjuangan serta seluruh ahli dan pengunjung yang sudi berkunjung ke blog hikmah sejati moga Allah memberi seribu rahmatnya buat kita semua.



    Kelebihan Ramadan
  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :
    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :



    (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)
    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)
    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)
    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)
    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.
    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)

    •  
    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)
    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)
    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkatmaka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).
Petikan dari buku  Ramadan 

Monday, July 2, 2012

Kehebatan di Bulan Syaaban



Rejab sudah berlalu. Kini telah pertengahan Syaaban. Lambaian Ramadan 15 hari lagi. Kita belum terlambat untuk menceriakan hidup dengan keberkatan Syaaban.
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili ra, berkata: Rasulullah bersabda, "Apabila masuk bulan Syaaban, (cerialah) dan sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Kita munajat dan berdoa seperti doa Rasulullah ketika masuknya Rejab:


Inilah doa tiga serangkai yang memadukan kemuliaan ketiga-tiga bulan yang sangat berkat ini. Tiga bulan inilah bulan medan perjuangan pejuang untuk membina jati diri, membentuk sahsiah dan memupuk kebersihan hati.
Selari dengan erti Syaaban iaitu berpecah-pecah atau berpuak-puak.
Pada zaman Jahiliyah, masyarakat Quraisy terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Rasulullah mengekalkan nama Syaaban sehinggalah sekarang.
Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya.
Diantara hadis yang paling masyhur ialah: Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, "Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?" Para sahabat menjawab, "Allah dan RasulNya lebih mengetahui." Sabda Rasulullah SAW, "Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).
Fadhilat Syaaban
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda :”Keutamaan bulan Syaaban di atas semua bulan itu, seperti keutamaan aku di atas semua Nabi dan keutamaan bulan Ramadhan itu di atas semua bulan ibarat keutamaan Allah SWT di atas semua hamba-Nya.”  Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah dan bagi kita umatnya berbagai ganjaran yang disediakan untuk setiap amalan bagi persediaan menghadap bulan Ramadhan.


Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah SAW
Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Salah satu amalan yang paling mudah yang perlu kita amalkan sepanjang bulan Syaaban adalah berdasarkan Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik : “Sesungguhnya Allah SWT telah menciptakan laut dari sinar di bawah arasy, lalu menciptakan satu Malaikat yang mempunyai dua sayap, satu sayapnya di timur dan sayapnya yang lain di barat, sedang kepalanya di bawah Arasy dan kedua kakinya di bawah lapis bumi ke tujuh. Apabila seseorang hambanya membaca selawat untukku di bulan Syaaban maka Allah SWT menyuruh Malaikat itu, supaya menyelam di air “Hidup”. Malaikat itupun menyelam, kemudian keluar dari dalam air serta mengibas-ngibaskan kedua sayapnya, sehingga bertitisanlah air dari bulu-bulu yang sangat banyak sekali. Maka Allah SWT menciptakan dari tiap-tiap titis air itu, satu Malaikat yang memohonkan ampunan bagi orang yang membaca selawat, sampai hari kiamat.”




Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."
Peristiwa-peristiwa penting di Bulan Syaaban
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril as pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata, Ya Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit!" Kata saya (Nabi Muhammad SAW): "Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca: "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontroversi pada waktu itu.
Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari Allah SWT.
Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulama sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya'. Rasulullah SAW sebagai imam terus mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi')
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi.
Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madinah.
Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq.
Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.
Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah.
Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq.
Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
Begitu besarnya fadhilat bulan Syaaban. Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan ini untuk mengimarahkannya.

Berbagai sumber