Thursday, August 25, 2011

Hikmah Aidilfitri

Sepanjang bulan Ramadan kita memohon keampunan, meneruskan tradisi ,tarawih, tadarus, tahajud, Qiyamullai, sedekah dan infak. Kita juga perlu bersederhana dalam makanan dan perbuatan. Apabila timbul keinsafan mendalam bahawa kita patut bersyukur kepada Allah dan tanda kesyukuran itu ialah bersifat ihsan kepada yang lain, ia bakal menjadikan kita golongan yang bertakwa dan kembali kepada fitrah.
Ibadat puasa yang mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri dan hadapan Allah s. w. t. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.
Kita tidak melakukannya demi mematuhi perintah Allah. Pengajaran atau mesej di sebaliknya ialah kalau perkara yang asalnya adalah harus pun kita meninggalkannya kepada patuh kepada perintah Allah, maka tentulah perkara yang haram lebih mampu kita meninggalkannya kerana ia adalah arahan dan perintah daripada Allah.
Alhamdulillah, dengan penuh rasa kesyukuran, sekali lagi kita akan menyambut Aidil-Fitri pada tahun ini. Aidil Fitri adalah hari kemenangan dan kejayaan bagi seluruh umat Islam yang bertakwa kepada Allah. Selama sebulan kita umat Islam melaksanakan ibadat puasa, berjuang melawan nafsu, supaya sentiasa mentaati perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Di siang hari kita berpuasa menegah kehendak nafsu. Di malam hari kita mengerjakan pelbagai ibadat fardhu dan sunat seperti solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf, zikrullah, qiamullail dan lain-lain lagi. Kesemuanya itu merupakan proses tarbiyah atau pendidikan langsung daripada Allah s. w. t. melalui ibadat puasa bagi melahirkan insan yang bertakwa. Firman Allah s. w. t.  dalam Surah al-Baqarah: ayat 183:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya, "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa".
Ibadat puasa ramadhan yang telah kita sempurnakan itu, mengandungi tarbiyah secara amali kepada seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat dan kedudukan untuk mendisplinkan diri terhadap Allah s. w. t. dan juga terhadap sesama makhluk. Dengan berpuasa kita mampu taat dan menghindari apa yang ditegah Allah, walaupun pada asalnya perkara itu adalah harus seperti makan minum di siang hari dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.
Hari raya yang mulia ini, selain menyambut hari kemenangan dalam perjuangan menundukkan hawa nafsu, juga merupakan hari melahirkan kesyukuran dan kegembiraan. Kita bersyukur dan bergembira kerana dapat menyambut aidil-fitri - yakni hari kembali kepada fitrah. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud:
"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu".
Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s. w. t., maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Menginsafi keadaan ini, maka tentulah kita akan menjaga kesucian dan kemurniaan hari aidil-fitri ini, supaya tidak menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah dengan semangat  dan hakikat aidil-fitri itu sendiri.
Aidil Fitri yang bakal kita rayakan adalah lambang pencapaian diri sepanjang Ramadan dengan tarbiah rohaniah yang dilalui. Ia juga menjadikan kita insan berubah, ada peningkatan dalam amal dan timbul keazaman untuk melakukan kebaikan selepas ini. Inilah lambang kemenangan yang kita rayakan dalam semangat mahabah, ukhuwah dan silaturahim.
Kita lakukan ziarah ke rumah saudara mara, jiran, orang miskin, anak yatim, orang tua dan uzur. Kita mohon kemaafan, bertanya khabar, memberi buah tangan serta sama-sama bertakbir dan bertahmid menyebut dan merasakan kebesaran Allah.

Betapa Aidil Fitri ditemukan hati insan yang berjiwa besar dan tulus merayakan hari kemenangan dan ingin kembali ke fitrah diri. Memohon maaf dan sifat memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia. Ia menundukkan rasa angkuh untuk merasakan seolah-olah kita tidak pernah bersalah dan tidak bersedia memaafkan kesalahan orang lain.
Sifat memaaf dan dimaafi ini adalah suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.
Betapa kebesaran Allah itu dilambangkan dengan kekerdilan diri untuk bersifat ihsan sesama hamba. Betapa kebesaran Allah mengingatkan kita bahawa kita akan kembali seperti orang terdulu yang kita kasihi apabila menziarahi kubur mereka.
Betapa apabila menziarahi orang tua yang uzur, kita menginsafi diri bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nasfu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.
Kita leburkan seluruh kekuatan yang kita bina, himpun dan kumpul sepanjang Ramadan dengan melakukan perbuatan maksiat. Kita terbabit dengan hal syubahat dan melanggar batas syarak dengan pergaulan yang melampaui batas, menonton filem yang merangsang semula nafsu syahwat dan nafsu haiwani. Hadir di majlis maksiat seolah-olah melepas geram selepas sebulan dikekang dengan amalan puasa.
AidilFitri seharusnya dirayakan dengan membina ukhuwah tinggi, melakukan ziarah berterusan dan harus ada kemampuan untuk menapis sesuatu yang mengukuh jiwa fitrah dan sesuatu yang boleh merosakkannya. Jangan biarkan anak-anak menjadikan ganjaran "ang pau" atau wang ringgit sebagai umpan ziarah sehingga makna Aidilfitri kepada mereka ialah berapa banyak wang yang dikumpul untuk membeli mercun dan bersuka ria tanpa batasan.
Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.
Tradisi berziarah di Malaysia sepanjang Syawal adalah suatu amalan baik, khususnya bagi masyarakat kota. Sayangnya tradisi ziarah ini bagi sesetengah orang dilambangkan dengan tradisi rumah terbuka. Walaupun tradisi ini agak baik tetapi sesetengah sanak-saudara dan sahabat handai hanya menunggu kalau ada undangan rumah terbuka barulah ziarah akan bermula. Pada hal tradisi lama ialah sepanjang Syawal rumah kita adalah terbuka. Ia harus mendorongkan rasa ikhlas untuk berziarah bukan ziarah kerana diundang.
Semangat beraya di kampung yang dapat menghidupkan suasana Aidilfitri wajar dikembangkan di kota. Ini bagi merapatkan silaturahim dan mahabbah sesama warga kota, sanak saudara dan sahabat kenalan. Merayakan Aidilfitri adalah kemuncak dari suatu perjuangan besar iaitu perjuangan mengawal hawa nafsu, sekali gus mendidik hati.

Hati orang yang bertakwa ialah hati yang tunduk dan taat kepada Allah dan berada dalam fitrah-Nya. Hati yang fitrah ialah hati yang dilembutkan supaya tunduk dan taat kepada menghayati kebesaran Allah.
Kebesaran Allah yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.
Disediakan Oleh: Ustaz Haji Mohd. Nawi Bin Haji Ismail


Di kesempatan ini saya mengucapkan selamat MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI,MAAF ZAHIR & BATIN buat semua Guru-guru,sahabat-sahabat,teman-teman seperjuangan serta para pengunjung yang mengunjungi hikmah sejati jazakallah di atas sokongan serta silaturahim.

Friday, August 19, 2011

Amalan pada malam LAILATUL QADAR


Amalan-amalan yang diamalkan pada malamnya: Mulai jam 12.00 tengah malam:

1. Sembahyang sunat wudhuk.

2. Sembahyang sunat hajat berdoa minta dipertemukan Allah dengan malam Lailatul Qadar.

3. Membaca al-Quran.

4. Istighfar:




5. Zikrullah:




6. Bertasbih:








7. Selawat:



8. Sembahyang sunat tahajjud.

9. Sembahyang sunat tasbih.

Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Hendaklah segera kita membaca:




Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa beribadat sesaat pada malam Qadar, kira-kira selama seorang penggembala memerah susu kambingnya, maka adalah lebih disukai Allah daripada berpuasa setahun penuh. Demi Allah yang telah mengutus daku dengan hak menjadi nabi, sesungguhnya membaca satu ayat dari al-Quran pada malam Qadar adalah lebih disukai Allah daripada mengkhatamkannya pada malam-malam yang lain."

Dari Aisyah r.a bahawa dia mengatakan, aku bertanya: "Ya Rasulullah, kalau aku bertepatan dengan malam Qadar, maka apakah yang patut aku baca? Jawab Rasulullah s.a.w.: Ucapkanlah:




Ertinya: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku.



moga bermanafaat


Saturday, August 13, 2011

Hikmah Lailatul Qadar


LAILATUL Qadar adalah malam yang berlaku pada Ramadan. Malam ini disebutkan dalam dua surah al-Quran, iaitu pada surah al-Dukhan dan al-Qadr.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam yang penuh keberkatan dan sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan.” (Surah al-Dukhan, ayat 2)

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya kami telah turunkan al-Quran itu pada malam kemuliaan.” (Surah al-Qadr, ayat 1)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu. Firman Allah bermaksud: “Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 3)

Ada beberapa riwayat yang menceritakan sebab Allah menurunkan malam al-Qadar untuk umat Muhammad.

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka’ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu’awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. “Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27.”

Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. “Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan.”

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri


berbagai sumber

Thursday, August 4, 2011

Amalan Utama Di Bulan Ramadhan

Terdapat banyak amalan sunat yang menjadi keutamaan pada bulan Ramadhan. Antara amalan utama pada bulan Ramadhan ialah:

a. Menunaikan solat sunat Terawih pada setiap malam bulan Ramadhan.

b. Membaca dan bertadarus al-Quran.
c. Memperbanyakkan amalan sedekah.

Selain itu, terdapat juga amalan-amalan lain yang boleh di lakukan seperti qiamullail, beriktikaf di masjid dan sebagainya.


1. Solat Tarawih


Pengertian:

Solat sunat yang dikerjakan selepas solat insyak pada Bulan Ramadhan.

Dalil:

Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah S.A.W. sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari Allah, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.
Aisyah r.a. berkata; “Rasulullah s.a.w mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda S.A.W. mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah S.A.W. tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan ramadhan.
Hukum:
Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.
Cara Solat Tarawih:
Waktu sembahyang Tarawih ini ialah selepas menunaikan sembahyang Fardhu Insyak sehinggalah ke larut malam. Sembahyang Terawih ditunaikan dengan kumpulan dua rakaat, pada tiap-tiap satu kali takbiratul-ihram kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki. Rukun sembahyang sunat Tarawih ini sama sahaja dengan rukun sembahyang yang lain.
Solat sunat Tarawih tidak perlu dibuat sebaik sahaja selesai menunaikan solat Insyak. Sebaliknya, pengamal boleh melewatkan menunaikan solat sunat Tarawih mengikut pilihan, kerana solat sunat tarawih boleh dibuat sehingga sebelum solat Subuh. Biasanya di Malaysia, solat Tarawih dimulakan selepas jemaah selesai menunaikan solat sunat dua rakaat selepas solat Insyak. Sembahyang Tarawih dilakukan dengan Imam menyaringkan bacaan seperti mana bacaan semasa solat Subuh.
Lafaz Niat Sembahyang Tarawih:
Bermaksud: Sahaja aku sembahyang Tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Walaupun demikian, ada beberapa cara dalam mengerjakan solat Tarawih, ditunaikan dua rakaat satu salam. Solat ini boleh ditunaikan sebanyak 8 rakaat atau 20 rakaat dan digalakkan berjemaah.

Kelebihan Sembahyang Tarawih:
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

2. Tilawah Al-Quran

Pengertian:

Tilawah Al-Quran bermaksud membaca Al-Quran.

Kaifiatnya:


Membaca secara bersendirian atau bertadarus. Tadarus bermaksud membaca beramai-ramai secara bergilir-gilir, menyemak, membetulkan bacaan, serta memahami maknanya bersama-sama.


Adab-adab Membaca al-Quran:
  • Disunatkan membaca Al-Quran dalam keadaan berwudhuk dan dalam keadaan bersih kerana yang di baca adalah ayat-ayat Allah. Tangan kanan hendaklah digunakan untuk mengambil kitab ini, manakala menggunakan kedua-dua belah tangan semasa memegang Al-Quran.
  • Disunatkan membaca Al-Quran di tempat yang bersih, seperti di rumah, surau, musollah dan tempat lain yang dianggap bersih. Tempat yang paling utama adalah di dalam masjid.
  • Disunatkan menghadap ke arah Qiblat ketika membacanya. Bacaan hendaklah khusyu’ dan tenang.
  • Mulut hendaklah bersih, tidak berisi makanan. Sebaiknya sebelum membaca Al-Quran, mulut dan gigi dibersihkan terlebih dahulu.
  • Sebelum membaca Al-Quran, disunatkan membaca ta’awwudz, iaitu meminta perlindungan Allah dari gangguan syaitan yang direjam. Doa bagi menerangkan hati juga boleh dibaca sebelum atau selepas membaca ta’awwudz.
  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan tartil, iaitu membaca dengan perlahan-lahan dan tenang.
  • Bagi yang memahami maksud ayat-ayat Al-Quran, disunatkan membacanya dengan penuh perhatian dan pengertian tentang ayat-ayat yang di baca.
  • Disunatkan membaca Al-Quran dengan suara yang merdu dan bagus bagi menambah keindahan bacaan tersebut.
  • Seelok-eloknya, ketika membaca Al-Quran, pembacaan hendaklah sehingga tamat tanpa ada diputuskan kerana ingin berbual-bual, ketawa dan bermain-main.Kesucian Al-Quran hendaklah di jaga.

Fadhilat dan hikmah:

i. Al-Quran memberi syafaat di akhirat.
ii. Menenangkan jiwa
iii. Menyembuhkan penyakit
iv. Menjauhkan diri daripada gangguan jin

3. Sedekah

Pengertian:


Mendermakan harta yang berlebihan melebihi keperluan kerana Allah s.w.t.


Kaifiat:

Mengeluarkan harta dan bersedekah kepada orang yang memerlukannya seperti orang miskin dan anak yatim.

Bersedekah mestilah ikhlas dan tidak menunjuk-nunjuk.

Fadhilat dan hikmah:

i. Menampung kecatatan puasa
ii. Di ampunkan dosa
iii. Pahala berlipat ganda
iv. Mendapat rahmat Allah s.w.t
v. Di jauhkan daripada azab neraka dan di dekatkan ke syurga.

 
Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).
Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183). 
Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya. 
Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). 
Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa. 
Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).
Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan. 
Sabda Nabi SAW: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu.” (Hadis sahih). 
Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh. 
Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat.” (Al-Hadis). 
Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa. 
Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan. 
Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah. 
Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar. 
Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan)


Sumber Rujukan:
1.Hamil @ Amir Abdul Hameed & Mohd Shukri Othman, 2008, Pendidikan Islam, Sasbadi.
2.Musyarawahab, 1995, Roh Ramadhan Aidil Fitri.
3.LaluKhidir, 1981, Puasa dan Aspek-aspek Kehidupan Manusia.